Jaringan ‘Mickey’ dinobat gol terbaik Piala Asia 2023

Jaringan ‘Mickey’ dinobat gol terbaik Piala Asia 2023

Sebelum undian ditutup semalam, Muhammad Faisal Abdul Halim mendapat 85% daripada keseluruhan undian.

Faisal Halim meraikan jaringan golnya ketika aksi menentang Korea Selatan bagi peringkat Kumpulan E sempena Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub, Doha pada 25 Jan lalu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Jaringan menarik pemain Harimau Malaya, Muhammad Faisal Abdul Halim dinobatkan Gol Terbaik Kejohanan bagi Piala Asia 2023 di Qatar dari 12 Jan hingga 10 Feb lalu.

Keputusan itu diumumkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menerusi media sosialnya hari ini, selepas undian peminat di laman sesawang rasminya https://www.the-afc.com berakhir semalam.

Faisal, 26, yang dikenali dengan julukan “Mickey” dalam kalangan peminat, menjaringkan gol itu pada aksi menentang Korea Selatan 25 Jan lalu, di mana beliau bijak mengelirukan beberapa pemain pertahanan untuk mengikat lawan 3-3 pada aksi peringkat kumpulan.

Rabu lalu, AFC mengumumkan undian lapan daripada 132 gol yang dijaringkan dalam 51 perlawanan sepanjang saingan Piala Asia kali ini.

Antara cabaran berjaya diketepikan pemain sayap Selangor FC itu adalah jaringan pemain Jepun, Keito Nakamura ketika menentang Vietnam (14 Jan), pemain Arab Saudi, Abdulrahman Ghareeb semasa menentang Oman (16 Jan), pemain tuan rumah Qatar, Hassan Al Haydos dalam aksi menentang China (22 Jan) dan pemain Thailand, Supachok Sarachat dalam perlawanan menentang Uzbekistan (30 Jan).

Jaringan gol lain membabitkan pemain Jordan, Mousa Al Tamari semasa menentang Korea Selatan (6 Feb), pemain Korea Selatan, Son Heung-min ketika menentang Australia (2 Feb) dan pemain Iran, Sardar Azmoun dalam aksi menentang Qatar (7 Feb).

Sebelum undian ditutup semalam, Faisal yang berasal dari Pulau Pinang, mendapat 85% daripada keseluruhan undian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.