
Ahli Parlimen Tanjong Karang, Dr Zulkafperi Hanapi, berkata langkah Bersatu itu seperti tindak balas kepada dakwaan kemungkinan ada lagi Ahli Parlimen parti itu akan menyokong Anwar.
“Jadi, mungkin apa yang dilakukan oleh Bersatu ini adalah sebahagian daripada agenda untuk menakut-nakutkan dan menyekat mereka yang berkira-kira untuk merubah sokongan. Saya rasa itu saja,” katanya pada sidang media malam tadi.
Bagaimanapun, Zulkafperi yakin keputusan parti mahu meminda perlembagaan tidak terpakai kepadanya termasuk lima Ahli Parlimen lain.
“Saya rasa itu tidak mengikat…ya tapi perinciannya kita akan serahkan kepada peguam kita untuk ‘handle’ (urus) perkara tersebut.
“Tapi mengikut perlembagaan dia nak ubah patutnya yang ke depanlah yang kebelakang sepatutnya tidak mengikat,” katanya sambil menyatakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) akan memutuskan sama ada pindaan itu diluluskan.
Pada 29 Jan, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin umum Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) bersetuju meminda perlembagaan parti bagi mengambil tindakan undang-undang ke atas wakil rakyatnya yang berbuat khianat.
Ia susulan enam Ahli Parlimen Bersatu isytihar menyokong Anwar tanpa meninggalkan parti.
Hamzah berkata, MPT juga bersetuju mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana wakil rakyat yang khianat bagi maksud pengosongan kerusi dan bersedia untuk berdepan pilihan raya kecil.
Selain Zulkafperi, lima Ahli Parlimen lain adalah Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), dan Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang).
Bulan lalu, Syed Hussin mendakwa lapan lagi Ahli Parlimen Bersatu dijangka umum sokongan kepada kerajaan perpaduan.