Task force AI: Tangani kebimbangan jangan sampai tak dapat manfaat

Task force AI: Tangani kebimbangan jangan sampai tak dapat manfaat

Harris Zainul dari Institut Strategik dan Pengajian Antarabangsa saran penubuhan pasukan petugas tertuju khas melibatkan pelbagai pemegang taruh.

Institut Strategik dan Pengajian Antarabangsa (ISIS) berkata masyarakat tidak harus takut kepada teknologi sehingga membantutkan potensi AI dalam meningkatkan produktiviti. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Pakar menasihatkan kerajaan menangani kebimbangan terhadap kecerdasan buatan (AI) generatif secara cermat dan bijaksana, supaya negara dapat memanfaatkan kecanggihan teknologi itu untuk meningkatkan produktiviti.

Harris Zainul, penganalisis kanan di Institut Strategik dan Pengajian Antarabangsa (ISIS), menyarankan penubuhan sebuah pasukan petugas khas melibatkan pelbagai pemegang taruh, kerana isu berkenaan harus dikaji dan ditangani secara tuntas.

“Walaupun kita bimbang tentang potensi bahaya yang mungkin timbul daripada AI generatif, kita tidak harus takut kepada teknologi dan melatah sehingga membantutkan potensi AI dalam meningkatkan produktiviti.

“Mencapai keseimbangan ini amat penting bagi Malaysia,” katanya kepada FMT.

Harris Zainul.

“Dalam hal ini, saranan saya adalah agar pasukan petugas khas itu melibatkan pelbagai pemegang taruh terdiri pegawai kerajaan, ahli akademi, penganalisis dasar, masyarakat sivil dan pihak mewakili sektor swasta.”

Khamis lalu Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan, menggesa kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas bagi menangani isu berkait penggunaan teknologi AI, di sebalik kemunculan alat yang mampu menghasilkan video realistik berdasarkan arahan teks.

Beliau khuatir pihak tidak bertanggungjawab menggunakan teknologi itu untuk menghasilkan video atau imej terhadap pesaing politik atau untuk memecah-belahkan masyarakat.

Terdahulu pada Isnin, agensi berita Yonhap melaporkan suruhanjaya pilihan raya Korea Selatan mengesan kandungan media dijana AI yang melanggar undang-undang negara itu, menjelang pilihan raya pada April.

Pada 4 Feb lalu, laman Voice of America melaporkan sebuah firma di Hong Kong kerugian kira-kira USD26 juta selepas ditipu oleh “scammer” yang menyamar sebagai eksekutif kanan menggunakan teknologi “deepfake”.

Ditanya sama ada Kanun Keseksaan perlu disemak, Harris berkata perkara yang perlu didahulukan ialah mengenal pasti potensi bahaya boleh ditimbulkan AI kepada rakyat dalam konteks Malaysia.

“Dengan pemahaman ini, kita akan dapat mendekati hal mengawal selia AI dengan cara yang benar-benar mencerminkan peluang-peluang dan kebimbangan sekitar AI ini,” katanya.

Beliau juga percaya Malaysia memiliki individu berkebolehan dengan set kemahiran yang diperlukan untuk menangani risiko AI.

“Cabaran untuk kerajaan adalah memujuk mereka supaya bersama berbincang dan memberi nasihat berkenaan cara terbaik untuk menangani kemudaratan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.