
Demikian kata Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi, mengenai sesi taklimat pra persidangan Dewan Rakyat di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.
“Perdana menteri ingatkan kehadiran, perbahasan mesti baik dan berasas…taklimat lain adalah daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.
“Ia berkaitan soalan dan rang undang-undang (RUU) dan perdana menteri juga ingatkan jaga korum (di Dewan Rakyat),” kata Ahli Parlimen Kapit kepada Bernama.
Turut hadir dalam taklimat itu Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof serta barisan Jemaah Menteri pada sesi perbincangan kira-kira tiga jam bermula 9.30 pagi.
Titah sulung Sultan Ibrahim selepas dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 31 Jan, bakal menjadi tumpuan pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15, esok.
Berdasarkan takwim di laman rasmi Parlimen, persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 19 hari dengan tumpuan pada perbahasan Titah Diraja oleh Ahli Parlimen dari 27 Feb hingga 7 Mac, diikuti jawapan daripada kementerian berkaitan selama empat hari, bermula 11 Mac.
Persidangan Dewan Rakyat kemudian diteruskan dengan pembentangan RUU.