Harga minyak: Tak adil serang guna kenyataan 20 tahun lalu, kata Anwar

Harga minyak: Tak adil serang guna kenyataan 20 tahun lalu, kata Anwar

Anwar Ibrahim berkata tidak adil menyerangnya sekarang berhubung kenyataan mahu turun harga minyak.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pernah menyatakan mahu menurunkan harga minyak, ketika beliau menjadi pembangkang. (Gambar Facebook Anwar Ibrahim)
KUALA SELANGOR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata adalah tidak adil untuk menyerangnya sekarang berhubung kenyataan mahu menurunkan harga minyak, yang dibuatnya 20 tahun lalu.

Anwar berkata, kenyataan ketika itu dibuat dalam keadaan yang tidak sama dengan sekarang.

“Bayangkan masa saya umum dulu ‘kita akan turunkan harga minyak’, harga minyak di Arab Saudi mungkin sekitar RM0.50. Harga kita dah sekitar RM1.50. Jadi saya kata kita keluarkan minyak. Sekarang kos keluaran dah bertambah.

“Jadi nak gunakan kenyataan saya 20 tahun yang lalu, tidak adil,” kata Anwar, ketika berucap merasmikan Program Madani Rakyat di Kompleks Sukan Kuala Selangor petang tadi.

Anwar berkata mesejnya ketika itu ialah beliau tidak mahu menaikkan harga minyak.

“Yang penting apa? Saya tak mahu naikkan harga minyak. Bagi rakyat.”

Tambahnya, melalui penstrukturan semula subsidi, rakyat akan menerima semula bantuan yang dimasukkan terus ke dalam akaun mereka, walaupun terdapat peningkatan harga.

Berbanding kerajaan memberikan subsidi pukal yang turut dinikmati warga asing dan kumpulan berpendapatan tinggi sehingga menyaksikan berbilion ringgit digunakan.

“Harga minyak naik kalau diapungkan. Tetapi rakyat kita tampung melalui dana. Faham tak? Boleh terima tak cara ini.

“Kalau tidak, berpuluh bilion, RM7-8 bilion bagi kepada orang asing. Saya tak ada masalah kalau orang asing semua bayar cukai dan sebagainya. Ini cukai tak bayar,” katanya.

Anwar percaya lebih baik wang dibayar terus kepada rakyat.

“Esok kalau kita umum jangan panik. Jangan mudah dihasut orang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.