Bancuh susu guna cecair syabu, suami isteri ditahan

Bancuh susu guna cecair syabu, suami isteri ditahan

Polis berkata kejadian pada Isnin lalu disedari nenek bayi lelaki 16 bulan itu apabila mangsa dilihat menjadi terlalu aktif dan sukar dikawal.

Polis berkata kedua-dua suspek direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Sepasang suami isteri nyaris menyebabkan kematian bayi lelaki mereka selepas tersilap membancuh susu dengan cecair syabu akibat khayal di bawah pengaruh dadah, dalam kejadian di Taman Medan, Isnin lalu.

Ketua Polis Petaling Jaya, Shahrulnizam Jaafar@Ismail, berkata polis menerima maklumat kejadian selepas menerima aduan daripada pihak Hospital Kajang pada 20 Februari lalu.

Beliau berkata, kejadian membabitkan bayi lelaki berusia 16 bulan itu disedari neneknya yang menjaga bayi berkenaan pada hari kejadian. .

“Difahamkan, pasangan suami isteri terbabit menghantar bayi mereka untuk dijaga neneknya yang tinggal di Seri Kembangan dan ketika dalam jagaan wanita berusia 55 tahun itu, bayi itu tidak berhenti menangis.

“Bayi itu juga menjadi terlalu aktif dan sukar dikawal, menyebabkan wanita itu bertanya kepada ibu bayi berkenaan punca cucunya itu berkelakuan pelik.

“Ibu bayi itu kemudian mengaku tersilap membancuh susu bayi berkenaan menggunakan air syabu milik suaminya,” katanya hari ini, menurut Berita Harian.

Shahrulnizam berkata, polis sudah menahan pasangan suami isteri berusia berusia 34 dan 40 tahun itu pada pada 20 Feb lalu untuk membantu siasatan.

“Ujian saringan awal air kencing dilakukan terhadap kedua-dua suspek menunjukkan mereka positif dadah.

“Semakan mendapati suspek lelaki yang bekerja sebagai penjual air balang mempunyai rekod berkaitan kes dadah,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata bayi malang terbabit kini berada dalam pemantauan pihak Hospital Kajang dan keadaannya dilaporkan stabil.

“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.