Sektor pelancongan perlu ubah, lembaga pengarah Tourism Malaysia sokong hala tuju Motac

Sektor pelancongan perlu ubah, lembaga pengarah Tourism Malaysia sokong hala tuju Motac

Ia berkata perubahan ketara perlu dilakukan terutama dari segi mempromosi produk pelancongan.

Terdahulu Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing menjelaskan beliau menurunkan pangkat Ketua Pengarah Tourism Malaysia Ammar Abd Ghapar kerana masalah prestasi tidak memuaskan.
PETALING JAYA:
Lembaga pengarah Tourism Malaysia menyokong penuh hala tuju Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya yang melakukan perubahan selepas Ketua Pengarahnya Ammar Abd Ghapar diturunkan pangkat kerana prestasi tidak memuaskan.

Dalam kenyataan lembaga pengarah itu berkata terdapat keperluan untuk sektor pelancongan melakukan perubahan ketara terutama dari segi kaedah mempromosi produk pelancongan negara.

Katanya, ia juga selaras keperluan semasa.

“Barisan lembaga pengarah Tourism Malaysia akan berusaha memberikan maklum balas dan panduan bagi memastikan aspirasi ini dapat diterima dan dilaksanakan dengan tadbir urus yang baik dan telus,” katanya.

Katanya, industri pelancongan juga perlu bersaing dengan negara jiran dengan lebih kompetitif lagi.

Menurutnya, walaupun jumlah ketibaan dan perbelanjaan pelancong di negara ini merekodkan pertumbuhan positif, ia masih jauh bawah paras ketika pra-pandemik.

“Kami tetap teguh dan komited dalam melakukan apa yang terbaik demi kepentingan negara,” katanya.

Terdahulu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing yang dipetik sebagai berkata, beliau menurunkan pangkat Ammar kerana masalah prestasi tidak memuaskan.

Katanya, tindakan itu perlu diambil demi kebaikan industri pelancongan negara.

“Kalau dia tidak boleh kerja jangan buat malu kementerian atau Tourism Malaysia… pergi main simpati, jangan kata dia kena pecat. Saya kata turun jadi timbalan ketua pengarah. Memang Mac tahun depan dia pencen.”

Semalam, Ammar yang 36 tahun bersama kementerian mengesahkan perkhidmatannya ditamatkan dan memberitahu menerima surat daripada Tiong.

Katanya, surat itu menyatakan perkhidmatannya ditamatkan berkuat kuasa 26 Feb selepas dilantik sebagai ketua pengarah pada April tahun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.