Runding semula jajaran dengan kerajaan persekutuan, kata Amirudin beritahu pemaju PJD Link

Runding semula jajaran dengan kerajaan persekutuan, kata Amirudin beritahu pemaju PJD Link

Menteri besar Selangor Amirudin Shari berkata perubahan memerlukan rundingan semula keseluruhan projek dengan Putrajaya.

Tahun lepas, Amirudin Shari berkata kerajaan Selangor telah memutuskan untuk membatalkan projek PJD Link. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Menteri besar Selangor Amirudin Shari mahu pemaju cadangan projek PJD Link melakukan rundingan semula jajaran projek itu dengan kerajaan persekutuan.

Beliau berkata, selepas PRN pada Ogos 2023, pentadbirannya menerima laporan penilaian impak sosial daripada PJD Link (M) Sdn Bhd yang menyatakan penduduk di Taman Medan dan Kinrara mahu lebuh raya itu, tetapi penduduk di tempat lain membantahnya.

“Kita cakap (kepada pemaju) mungkin boleh ‘accommodate’ (kumpulan) yang terima dan elak kawasan (kumpulan) yang tak nak terima,” kata Amirudin kepada pemberita selepas menghadiri majlis di sini hari ini.

Beliau berkata jika perubahan dibuat pada jajaran, pemaju perlu bermula dari awal termasuk berunding semula dengan Putrajaya.

“Lesen yang diberikan kerajaan persekutuan adalah berdasarkan jajaran semasa. Jika mereka mahu ubah, mereka perlu membentangkannya dari A hingga Z kepada kerajaan persekutuan. Adakah mereka sanggup berbuat demikian?” tambahnya.

Diminta mengulas mengenai kehadiran NGO pada majlis yang dihadirinya beberapa hari lalu, Amirudin berkata beliau bertemu mereka tahun lalu di Dewan Rakyat bersama-sama Ahli Parlimen Pakatan Harapan Gobind Singh Deo dan William Leong.

Pada majlis itu, pihak berkepentingan, merangkap Residents Against PJD Link memegang sepanduk membantah projek itu ketika Amirudin sedang menghabiskan ucapannya.

Mereka mendakwa telah menulis surat dan menyerahkan empat memorandum kepada pejabat menteri besar yang membantah projek itu, tetapi tidak mendapat sebarang maklum balas daripada kerajaan negeri.

Tahun lalu, Amirudin dilaporkan berkata kerajaan negeri PH telah memutuskan untuk membatalkan projek PJD Link.

Beliau berkata laporan penilaian impak khususnya laporan SIA yang dikemukakan pemaju tidak memuaskan dan tidak memenuhi syarat tertentu yang ditetapkan kerajaan negeri.

PJD Link akan menghubungkan utara dan selatan Petaling Jaya, melalui Petaling Jaya Utara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, Petaling Jaya city centre, Taman Dato’ Harun, Taman Medan Baru, Taman Sri Manja, Bandar Kinrara dan Taman Teknologi Bukit Jalil.

Cadangan pembinaan lebuh raya itu telah diluluskan secara prinsip oleh Jemaah Menteri pada November 2017.

Pada September 2020, kerajaan negeri turut meluluskan projek itu secara prinsip, tertakluk kepada penerimaan laporan penilaian impak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.