
Pada 21 Nov, Setiausaha Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya (Motac) Roslan Mohammad mendedahkan nilai kerugian dalam tempoh 11 bulan tahun lalu merekodkan RM9 juta, meningkat tiga kali ganda berbanding 2022.
Jumlah itu tidak termasuk kerugian direkodkan Tribunal Tuntutan Pengguna (TTPM) iaitu kira-kira RM7.08 juta daripada 355 kes dilaporkan.
Peningkatan itu mungkin didorong “keghairahan” orang ramai mahu menunaikan umrah di Tanah Suci selepas tertangguh beberapa tahun akibat Covid-19 melanda pada awal 2020.
FMT mendapatkan pandangan pemain industri yang menyediakan perkhidmatan umrah untuk dijadikan panduan kepada orang ramai dalam memilih pakej betul.
Tiada lagi pakej bawah RM6,000
Menurut Eksekutif Umrah dari Mitra Kembara Akmal Zaki Ahmad Fadli, orang ramai perlu berhati-hati jika ditawarkan pakej bawah RM6,000, sambil menyifatkannya mungkin “hanya sekadar indah khabar dari rupa”.
Menurutnya, secara purata pakej umrah ketika ini ditawarkan bermula RM6,000 ke atas bergantung kepada tempoh penginapan, musim kemuncak atau tidak, makan dan minum, serta jarak hotel.
Malah kejatuhan mata wang juga menjadikan harga pakej sebelum pandemik Covid-19 sudah tidak relevan, kata Akmal Zaki.

“Harga hotel dan beberapa perkhidmatan di Makkah majoritinya meningkat berlipat ganda selepas pandemik menyebabkan agensi pelancongan tiada pilihan selain turut menaikkan kos pakej,” katanya.
Bagi mengelakkan tertipu, Akmal Zaki juga menasihatkan orang ramai memeriksa terlebih dahulu status syarikat menawarkan pakej murah itu dengan melayari www.motac.gov.my/semakan/umrah sama ada mereka berdaftar dengan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (Motac).
Semakan di laman sesawang itu, sebanyak 997 syarikat mempunyai lesen perniagaan pengendalian pelancongan luar negeri bagi umrah.
Cabaran agensi pelancongan
Akmal Zaki berkata, selain berdepan kos penginapan, perniagaan agensi pelancongan yang menyediakan pakej umrah turut berdepan cabaran “umrah DIY” susulan pengenalan visa ziarah atau “lawatan peribadi” oleh Arab Saudi.
Menurutnya, visa diperkenal Disember 2022 itu membolehkan pelawat ke negara berkenaan melakukan ibadat umrah dan ziarah di Makkah serta melawat tempat bersejarah di Madinah.
“Bila kerajaan Arab Saudi bagi kelonggaran itu, sesiapa pun boleh buat umrah, dan sedikit sebanyak kita (syarikat umrah) pun terkesan,” katanya.
Umrah DIY merujuk kepada jemaah menunaikan ibadat itu tanpa mengambil pakej mana-mana syarikat dan mereka menguruskannya sendiri bermula daripada tiket penerbangan dan permohonan visa, selain tiada mutawif.