Bincang hak Bumiputera tak nafi orang lain, kata Asyraf

Bincang hak Bumiputera tak nafi orang lain, kata Asyraf

Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata Kongres Ekonomi Bumiputera tidak perlu dipolitikan.

Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata kerajaan ingin menfokuskan strategi berkesan memperkasakan agenda dan mengangkat martabat rakyat majoriti.
KUALA LUMPUR:
Sebarang perbincangan mengenai hak Bumiputera bukan bermakna ia menafikan hak bukan Bumiputera, kata Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

Sebaliknya, kata Asyraf, kerajaan ingin menfokuskan strategi berkesan memperkasakan agenda dan mengangkat martabat rakyat majoriti.

“Kongres Ekonomi Bumiputera ini seharusnya tidak perlu dipolitikan oleh segelintir yang melihatnya secara sinis. Seolah-olah ia akan menafikan bukan Bumiputra atau rakyat secara keseluruhannya.

“Hakikatnya bila kita melihat statistik yang mutakhir yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik 70.1% rakyat Malaysia ini terdiri daripada Bumiputera,” katanya.

Asyraf berkata demikian ketika merasmikan Simposium Kongres Ekonomi Bumiputera.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata kerajaan mahu wakil dewan perniagaan Cina dan India mengambil bahagian dalam kongres itu.

Sementara itu, dalam sidang media, Asyraf berkata, jemputan untuk menghadiri kongres itu dihantar kepada semua parti politik, seperti diarahkan Anwar.

Sebelum ini, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata parti itu belum menerima jemputan rasmi untuk menghadiri kongres tersebut.

Pada 14 Feb lalu, Fadhli berkata, PAS menunggu jemputan rasmi sebelum memutuskan sama ada pemimpinnya akan menghadiri kongres itu. Beliau menjawab kenyataan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi bahawa kongres itu terbuka kepada semua tanpa mengira pegangan politik.

Bagaimanapun, Asyraf berkata beliau masih belum menerima jawapan berhubung jemputan tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.