Sindiket antarabangsa tumpas, RM4.02 juta dadah dirampas

Sindiket antarabangsa tumpas, RM4.02 juta dadah dirampas

Lima lelaki tempatan dan seorang pemastautin tetap ditahan dalam tiga serbuan di sekitar Melaka, Johor dan Pahang pada Rabu lalu.

Mohd Kamarudin Md Din (tengah) menunjukkan syabu dan serbuk ekstasi yang dirampas dalam sidang media di IPK Melaka hari ini. (Gambar Bernama)
MELAKA:
Kegiatan sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah antarabangsa yang dipercayai menjadikan Pantai Klebang sebagai transit, tumpas selepas enam lelaki ditahan bersama rampasan dadah berjumlah RM4.02 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Mohd Kamarudin Md Din berkata, lima lelaki tempatan dan seorang pemastautin tetap berusia 40 hingga 74 tahun itu ditahan dalam tiga serbuan di sekitar Melaka, Johor dan Pahang pada Rabu lalu.

“Dalam serbuan pertama, suspek ditahan di kawasan Kota Syahbandar ketika memindahkan dadah ke sebuah kenderaan lain dan polis merampas syabu seberat 51.95kg dan serbuk ekstasi seberat 31.45kg bernilai RM4.02 juta.

“Dalam serbuan kedua, polis menahan tiga suspek di Simpang Renggam, Johor manakala serbuan ketiga menahan dua suspek lelaki di Genting Highlands dan hasil siasatan mendapati dadah dirampas itu dianggarkan boleh digunakan 365,000 penagih,” katanya dalam sidang media di IPK Melaka hari ini.

Beliau berkata, sindiket itu menggunakan jalan darat bagi menyeludup dadah dari negara jiran di utara untuk diedarkan ke Indonesia melalui jalan laut dan semua suspek penganggur itu berperanan sebagai dalang utama, koordinator dan runner (penghantar dadah).

“Kami percaya sindiket ini mula aktif sejak pertengahan 2023 dan kami sedang menyiasat sekiranya masih ada rakan masih bebas serta penglibatan pihak lain dan polis tidak menolak Pantai Klebang dijadikan transit oleh sindiket ini sebagai jalan keluar dadah ke Dumai, Indonesia.”

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dengan lima suspek direman lima hari dan seorang lagi selama tujuh hari mulai 21 Feb lalu bagi membantu siasatan.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati dua suspek positif methamphetamine, manakala empat lagi negatif dadah. Hasil semakan mendapati lima suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Polis turut menyita pelbagai aset sindiket itu, termasuk dua kenderaan dan wang tunai dianggarkan RM103,000.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.