Nama dalam senarai pengganas, 3 pemimpin NGO perlu hubungi FBI

Nama dalam senarai pengganas, 3 pemimpin NGO perlu hubungi FBI

Pengerusi Seketariat Ops Ihsan, Jismi Johari berkata, mereka perlu mendapatkan penjelasan FBI berhubung perkara itu.

Pengerusi Sekretariat Ops Ihsan, Jismi Johari sekali lagi menegaskan tiga individu terbabit tidak terlibat secara langsung dalam operasi Ops Ihsan di Palestin. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sekretariat Ops Ihsan mengesyorkan tiga pemimpin NGO Islam mendapatkan penjelasan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) selepas nama mereka berada dalam senarai pengganas agensi Amerika Syarikat itu.

Pengerusinya, Jismi Johari berkata, syor itu dibuat dalam mesyuarat sekretariat Ops Ihsan pada 19 Feb lalu, selepas surat daripada Kementerian Luar mengarahkan tiga individu berkenaan tidak dilibatkan dalam Ops Ihsan tular.

“Kita bersetuju sebulat suara syorkan mereka mendapatkan keterangan lebih lanjut kerana disenaraikan dalam Pusat Pemeriksaan Pengganas FBI.

“Kita tidak tahu macam mana mereka boleh disenaraikan, banyak maklumat yang diperlukan,” katanya kepada FMT.

Jismi berkata, pemimpin NGO terbabit perlu menulis surat kepada FBI melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) atau pihak polis kerana tuduhan itu dinyatakan secara individu.

Katanya, tiga individu terbabit tidak terlibat secara langsung dalam operasi Ops Ihsan, sebaliknya hanya organisasi yang mereka wakili menyertai operasi penghantaran bantuan ke Gaza.

“Tiga individu ini memang tidak aktif dalam Ops Ihsan, tidak duduk dalam sekretariat atau terlibat dalam aktiviti, yang terlibat adalah organisasi mereka, jadi mereka tidak terlibat secara aktif.

“Hanya organisasi mereka terlibat dalam penghantaran pertama, kedua dan ada menyumbang barang atau wang tunai, kemudian dibelikan barang untuk penghantaran pertama hingga ketiga.”

Rabu lalu, KDN mengesahkan tiga pemimpin NGO Islam itu bersih daripada sebarang kegiatan keganasan selepas semakan pihak berkuasa negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, semakan ke atas 359 individu daripada 53 NGO di Malaysia juga menunjukkan mereka tidak terbabit aktiviti keganasan dan isu ketika ini hanya membabitkan rekod FBI.

“Berdasarkan semakan kita dalam rekod polis, semua NGO terlibat dalam Ops Ihsan tidak ada terlibat isu-isu keganasan. Bersih,” katanya.

Ops Ihsan merupakan idea dicetuskan bekas menteri luar, Zambry Abdul Kadir, sebagai usaha kerjasama antara Kementerian Luar dan NGO bagi menggerakkan sokongan serta bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Setakat ini, tiga penghantaran bantuan, termasuk perubatan sudah dihantar ke Palestin melalui Ops Ihsan.

Ops Ihsan diselaraskan Kementerian Luar, diketuai Malaysian Humanitarian Aid and Relief bersama 53 NGO lain, termasuk Global Peace Mission Malaysia, Red A Humanitarian Development Global, Mercy Malaysia, Pertubuhan Ihsan Johor dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.