Muhyiddin nafi terlibat kontrak Spanco

Muhyiddin nafi terlibat kontrak Spanco

Bekas perdana menteri berkata kerajaan sepatutnya mendedahkan kenapa surat niat diberikan kepada sebuah syarikat lain oleh kerajaan PH sebelum itu dibatalkan.

Muhyiddin Yassin mendakwa tuduhan dilemparkan terhadapnya berhubung isu Spanco adalah sebahagian siri pembunuhan karakter dibuat musuh politik.
PETALING JAYA:
Bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menafikan dirinya terlibat dalam salah laku berhubung pemberian kontrak perolehan syarikat membekal dan menguruskan kenderaan kerajaan, Spanco Sdn Bhd (Spanco).

Beliau membuat penafian itu kerana mendakwa tohmahan terhadapnya berhubung perkara berkenaan sedang berlegar di media massa dan media sosial tanpa sebarang butiran lengkap.

“Samalah seperti tuduhan sebelum ini kononnya saya menyeleweng wang negara bernilai ratusan billion ringgit yang sehingga kini tidak dapat dibuktikan oleh mereka yang menuduh saya,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Munyiddin turut mendakwa tuduhan dilemparkan terhadapnya adalah sebahagian daripada siri pembunuhan karakter yang dibuat musuh politiknya.

“Berhubung kontrak Spanco, kerajaan sepatutnya mendedahkan kenapa surat niat (LOI) yang diberikan kepada sebuah syarikat lain oleh kerajaan Pakatan Harapan sebelum itu dibatalkan. Saya percaya maklumat mengenainya ada di Kementerian Kewangan. Perlu didedahkan juga ialah tarikh bila kontrak tersebut diberikan kepada Spanco.

“Janganlah membuat tuduhan melulu terhadap saya. Sebagai perdana menteri antara Mac 2020 dan Ogos 2021, saya tidak terlibat dalam sebarang pemberian kontrak kerajaan yang diuruskan oleh Kementerian Kewangan. Jangan samakan kedudukan saya dengan perdana menteri ke-10 yang juga merupakan menteri kewangan. Saya tahu kedudukan saya,”katanya.

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan sudah merakam percakapan bekas menteri kewangan yang terbabit dalam kontrak perolehan syarikat membekal dan menguruskan kenderaan kerajaan, Spanco bagi tempoh 2020-2021.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki yang dipetik sebagai berkata, kes membabitkan Spanco masih dalam siasatan dan akaun terbabit masih dibekukan.

“Kita sudah merakam keterangan bekas menteri kewangan namun bekas perdana menteri ketika itu belum dipanggil memberi keterangan,” katanya.

Spanco ialah penyedia penyelesaian pengurusan kenderaan konsesi bebas terbesar di negara ini, yang ditubuhkan pada 1988.

Pada 1993, Spanco diberi perjanjian konsesi selama 25 tahun dengan kerajaan, yang membenarkan syarikat itu menyediakan dan memajak kereta dengan perkhidmatan penyelenggaraan penuh untuk kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.