
Ketua Pengarah Jabatan Bomba, Nor Hisham Mohammad, berkata mayat Mohd Izwan Illias, 42, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada 5.32 petang dalam radius 20 meter dari lokasi terakhir dia dilaporkan terjatuh.
“Penemuan ini hasil daripada strategi operasi dan berdasarkan pergerakan baca arus, kita kecilkan skop pencarian daripada satu kilometer ke hilir dan 500 meter (m) ke hulu kepada radius 100m ke hulu dan 300m ke hilir.
“Sebelum itu, di peringkat awal juga dua ekor anjing dari Unit Anjing Pengesan (K9) telah menunjukkan pengesanan dalam radius 50m dari lokasi boya atau titik lokasi mangsa terjatuh.
“Jadi berdasarkan pengesanan itu kita dapat kecilkan radius pencarian dan pada 5.32 petang salah seorang anggota pasukan penyelamat ternampak satu jasad dan disahkan milik Mohd Izwan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, lapor Bernama
Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala kes diklasifikasikan sebagai terkorban ketika menjalankan tugas rasmi.
Beliau berkata satu majlis istiadat penghormatan terakhir akan diadakan di kediaman keluarga mangsa di Kampung Pekan Darat, Seberang Perai Utara (SPU) sebagai tanda menghargai komitmen dan pengorbanan Allahyarham sepanjang berkhidmat dalam pasukan bomba.
Sementara itu, bapa mangsa, Illias Othman, 77, meluahkan rasa syukur selepas mayat anak ketiga daripada enam beradik itu ditemui.
“Terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan operasi ini hingga mayat Izwan ditemukan.
“Walaupun sedih tapi pakcik syukur dan reda dengan kehilangan ini,” katanya.