
Tertuduh yang bekerja sebagai juruteknik syarikat penyedia perkhidmatan internet, Mohd Sufian Wahab, 39, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Hilmiah Yusof dan Hakim Azizah Ahmad, menurut Sinar Harian.
Pada prosiding pertama, tertuduh didakwa atas tujuh pertuduhan melakukan rompakan bersenjatakan pisau terhadap tujuh individu melibatkan kerugian antara RM700 hingga RM10,000 dan seutas gelang.
Prosiding kedua di hadapan Azizah pula, tertuduh berdepan 13 pertuduhan melakukan rompakan bersenjatakan pisau, rompakan berkumpulan dan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa.
Kesalahan dilakukan tertuduh itu membabitkan kerugian keseluruhan RM29,510 selain pelbagai barangan kemas seperti rantai, gelang, cincin, buah rantai, cincin batu jed dan seutas jam tangan jenama Seiko.
Semua perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di beberapa bank dan farmasi di daerah Ipoh antara 3 Ogos 2022 hingga 25 Dis 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan Seksyen 392/397 serta Seksyen 395/397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.
Tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Qurratu’aini Khalifah, Mohammad Haiqal Asyraf Suhaimi dan Mohamad Nazreen Zabarudin tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh memandangkan kesalahan serius yang melibatkan kerugian besar dan orang awam.
Bagaimanapun tertuduh diwakili peguam Gheetal Kaur memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin dengan jumlah minimum atas alasan menanggung anak masih bersekolah selain menjaga ibu yang mengalami masalah jantung.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM60,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan dilarang mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Mahkamah turut menetapkan 22 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.