
Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata, bagi kategori bayaran tender nombor pendaftaran, kutipan hasil meningkat daripada RM501.5 juta pada 2022 kepada RM569.6 juta tahun lalu.
“Peningkatan hasil ini termasuk siri bidaan nombor pendaftaran FF, M_M yang dilancarkan pada Mei 2023 dan Ogos 2023.
“Untuk siri GOLD, JPJ merekodkan lebih RM17.24 juta hasil kutipan, termasuk GOLD 1 berjaya dibida Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dengan harga RM1.5 juta,” katanya menurut Bernama ketika berucap pada Majlis Sua Kasih Madani Kementerian Pengangkutan di Putrajaya.
Dalam perkembangan lain, Loke berkata, Pelabuhan Klang mencatatkan jumlah pengendalian kontena tertinggi dalam sejarah, iaitu 14.06 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU) tahun lalu berbanding 13.22 juta TEU pada 2022.
Beliau berkata, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Johor pula mengendalikan 10.48 juta TEU tahun lalu berbanding 10.51 juta TEU pada 2022.
“Pelabuhan Klang dan PTP terus kekal 20 pelabuhan utama dan tersibuk di dunia. Prestasi cemerlang (merujuk TEU) mencerminkan kepesatan ekonomi Malaysia sebagai komponen penting dalam rantaian bekalan dunia.”
Katanya, nisbah kargo pemunggahan dan kargo tempatan di Pelabuhan Klang berubah daripada 70:30 pada 2014 kepada 55:45 tahun lalu.
Kargo pemunggahan merujuk proses pemindahan barang dari sebuah kapal ke kapal lain tanpa melalui pintu kastam, manakala kargo tempatan merujuk barang dihasilkan atau diperoleh dalam negara.
Bagi pencapaian sektor udara, Loke berkata, penumpang antarabangsa dan domestik meningkat sebanyak 10.7% pada Januari 2024 berbanding Januari 2023, dengan Malaysia mempunyai 147 penerbangan menghubungkan seluruh dunia berbanding 121 destinasi pada 2022.
Katanya, ketibaan pelancong di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur turut mencatatkan peningkatan 32% pada Januari 2024, mencerminkan kejayaan pengecualian visa 30 hari kepada pelancong China dan India berkuat kuasa 1 Dis 2023.