SPRM sedia dakwa menantu Muhyiddin

SPRM sedia dakwa menantu Muhyiddin

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata bagaimanapun keberadaan Adlan Berhan belum diketahui.

SPRM melakukan siasatan terhadap penganugerahan kontrak lumayan kepada Adlan Berhan berkemungkinan wujud elemen salah guna kuasa berkait Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe). (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia mendakwa Adlan Berhan iaitu menantu bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin atas tuduhan pecah amanah jenayah (CBT).

Ketua Pesuruhjaya, Azam Baki, berkata pihaknya sudah menyelesaikan siasatan terhadap ahli perniagaan itu namun belum dapat mengesan keberadaannya.

“Kita telah melengkapkan siasatan berkenaan dan bersedia mendakwanya kerana CBT, tidak salah saya, kita belum tahu di mana beliau,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah (CEIO) ke-10 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Tahun lalu, sumber SPRM berkata agensi itu menyiasat penganugerahan kontrak lumayan kepada Adlan, berkemungkinan salah guna kuasa berkait Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe).

Adlan dinamakan dalam laporan media pada 2020 sebagai pemain utama dalam perolehan kontrak NIISe.

SPRM juga sedang menjejak peguamnya, Mansoor Saat bagi membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.