Kastam rampas arak lebih RM6 juta

Kastam rampas arak lebih RM6 juta

Siasatan awal mendapati minuman keras itu dipercayai dibawa masuk untuk jualan sempena Tahun Baharu Cina baru-baru ini.

Pengarah Kastam Pulau Pinang Roselan Ramli menunjukkan arak yang dirampas pada sidang media. (Gambar Bernama)
BUTTERWORTH:
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang merampas 361,236 tin minuman keras pelbagai jenis bernilai RM6.16 juta termasuk cukai di Pelabuhan Klang, Selangor, pada 31 Jan dan 7 Feb lalu.

Pengarahnya, Roselan Ramli, berkata dalam pemeriksaan pada 11 pagi 31 Jan lalu pihaknya menahan dua kontena di Pelabuhan Klang dan menemukan 106,560 tin arak seberat 52,668 liter bernilai RM263,340 dengan cukai berjumlah RM1.7 juta.

Beliau berkata, semakan mendapati kontena itu dikendalikan oleh syarikat perkapalan yang mempunyai cawangan di Pelabuhan Klang dan diimport oleh syarikat sendirian berhad (Sdn Bhd) di Kuala Lumpur.

“Daripada dokumen yang diperoleh, barangan itu dipercayai dari negara Asia Timur, dan diisytiharkan sebagai kepingan aluminium bagi mengelak dikenakan cukai.

“Pihak kastam turut menahan seorang lelaki berusia 30-an yang merupakan ejen penghantaran untuk membantu siasatan,” katanya pada sidang media.

Roselan berkata, bagi kes kedua pihaknya menahan empat kontena pada 12.45 tengah hari, pada hari sama dan menemukan 202,356 tin arak seberat 102,098 liter bernilai RM561,541.20 melibatkan cukai berjumlah RM3.45 juta.

Beliau berkata, bagi kes ketiga, pihaknya menahan sebuah kontena kira-kira 11.30 pagi, 7 Feb lalu dan menemukan 52,320 tin arak seberat 26,160 liter dianggar bernilai RM144,000 melibatkan cukai berjumlah kira-kira RM1 juta.

“Bagi kedua-dua kes itu, tiada tangkapan dibuat dan siasatan menunjukkan barangan terbabit juga dibawa masuk dari negara Asia Timur, dengan masing-masing diisytiharkan sebagai aloi tembaga dan kabin.

“Kontena bagi kes kedua dan ketiga ini turut didapati dikendalikan oleh syarikat perkapalan dengan cawangannya di Pelabuhan Klang dan diimport oleh syarikat sendirian berhad (Sdn Bhd) di Selangor,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal semua minuman keras itu dipercayai dibawa masuk untuk jualan sempena Tahun Baharu Cina baru-baru ini.

Menurut Roselan, pihaknya percaya semua minuman keras itu diseludup masuk oleh sindiket berbeza kerana melibatkan syarikat perkapalan berbeza, namun siasatan lanjut sedang dijalankan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.