Tiru proses kelulusan pantas Kedah, saran CEO koridor utara

Tiru proses kelulusan pantas Kedah, saran CEO koridor utara

CEO Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara, Haris Kader Sultan berkata Kedah menghimpunkan semua pihak berkaitan supaya keputusan dibuat segera.

E10 adalah proses laluan pantas yang mengendalikan permit pembinaan untuk memastikan kerja dapat dimulakan dalam tempoh ditetapkan tanpa kelewatan.
GEORGE TOWN:
Keupayaan Kedah meluluskan projek pembinaan dalam tempoh kurang dari 10 bulan adalah model yang patut ditiru oleh negeri-negeri lain di Utara Semenanjung, kata CEO Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Haris Kader Sultan.

Haris berkata, berbanding proses kelulusan tradisional di mana permohonan perlu melalui beberapa jabatan, pendekatan Kedah menghimpunkan semua pihak berkaitan untuk mempercepat proses membuat keputusan di bawah sistem E10 kerajaan negeri.

Menurut laman sesawang kerajaan Kedah, E10 adalah proses laluan pantas yang mengendalikan permit pembinaan untuk memastikan kerja dapat dimulakan dalam tempoh yang ditetapkan tanpa kelewatan.

“Kami mahu setiap negeri di Utara meniru apa yang diamalkan di Kedah. Kerana pada akhirnya, ia memudahkan proses perniagaan,” kata Haris kepada wartawan ketika taklimat prestasi tahunan NCER.

Haris Kader Sultan.

“Fail tidak pergi dari satu jabatan ke jabatan lain. Orang dari semua jabatan itu berkumpul di satu tempat dan mereka membuat keputusan pada mesyuarat itu.”

Haris berkata pada masa ini, perniagaan di negeri-negeri Utara seperti Pulau Pinang, Perak, dan Perlis perlu menunggu sehingga dua tahun untuk kelulusan yang diperlukan.

Katanya, Perlis sudah cuba meniru sistem pemprosesan pantas Kedah.

“Sebagai agensi persekutuan, kami akan memudahkan sistem yang sama untuk negeri-negeri lain di utara untuk mengikutnya. Saya rasa ini tidak sepatutnya menjadi masalah kerana jika Kedah boleh melakukannya, negeri-negeri lain juga boleh,” katanya.

Terdahulu, Haris mengumumkan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) berjaya melepasi sasaran 2023 dengan berjaya memudahkan pelaburan bernilai RM21.41 bilion dan lebih 24,000 peluang pekerjaan diwujudkan tahun lepas.

NCER ialah koridor ekonomi yang merangkumi empat negeri di utara Semenanjung iaitu Pulau Pinang, Kedah, Perak, dan Perlis.

NCER menjangkakan dapat membantu memudahkan kemasukan pelaburan bernilai RM18 bilion dan merealisasikan pelaburan berjumlah RM22 bilion pada 2024.

Haris berkata angka itu sama dengan sasaran pada 2023 memandangkan syarikat besar dengan pelaburan yang besar tidak akan masuk setiap tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.