MMA sokong cadangan kawasan khas merokok

MMA sokong cadangan kawasan khas merokok

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia berkata, inisiatif itu dapat menyumbang ke arah perubahan sikap sedikit demi sedikit bahawa merokok bukan sesuatu yang normal.

Presiden MMA berkata kawasan khas merokok patut ditempatkan di luar bangunan dan jauh dari tempat sesak untuk mengelak pendedahan asap sekunder kepada bukan perokok. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Persatuan Perubatan Malaysia menyokong cadangan supaya kawasan khas merokok diwujudkan, tetapi berkata inisiatif itu perlu dirancang dan dilaksanakan secara teliti.

Inisiatif itu dapat menyumbang kepada perubahan sikap sedikit demi sedikit bahawa merokok bukan sesuatu yang normal sekiranya dilaksanakan dengan betul, menurut presidennya, Dr Azizan Abdul Aziz.

Pandangan itu senada dengan pendirian Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM).

Azizan mencadangkan Kementerian Kesihatan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan pemilik premis dalam mengenal pasti tempat sesuai bagi memastikan inisiatif itu berjaya.

“Kesihatan awam mesti diberi keutamaan tertinggi dalam membuat keputusan ini, bukannya kesenangan pemilik kedai dan perokok.

“Kawasan khas merokok patut diletakkan di luar bangunan dan jauh dari kawasan sesak bagi mengelak pendedahan asap sekunder kepada golongan bukan perokok,” katanya dalam kenyataan.

Azizan mengesyorkan kementerian mengkaji pelaksanaan inisiatif seperti itu di Singapura dan Jepun bagi contoh amalan terbaik.

Semalam, NCSM berkata, cadangan membenarkan kawasan khas merokok di premis makanan yang mempunyai kawasan sempit tidak akan “menormalisasi” perbuatan merokok.

Menurutnya, mengekalkan kawasan larangan merokok dan menetapkan kawasan khas merokok akan menyumbang kepada usaha menghapuskan amalan merokok dalam jangka panjang.

Minggu lalu, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata kementerian akan mempertimbangkan untuk menyediakan kawasan khas merokok khususnya bagi premis makanan di kawasan sempit.

Katanya, premis di kawasan sempit agak sukar bagi mematuhi jarak 3m untuk merokok yang dikuatkuasakan ketika ini.

Bagaimanapun, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menolak cadangan penyediaan kawasan khas merokok itu kerana dilihat bercanggah dengan dasar kawalan tembakau negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.