Mahkamah Persekutuan tolak permohonan cabar bahasa pengantar sekolah vernakular

Mahkamah Persekutuan tolak permohonan cabar bahasa pengantar sekolah vernakular

Majoriti hakim memutuskan Mappim dan Gapena gagal melepasi ambang yang ditetapkan Akta Mahkamah Kehakiman.

Mappim dan Gapena mahu Mahkamah Persekutuan isytihar sekolah vernakular tidak mengikut Perlembagaan. (Gambar Fail)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan menolak permohonan oleh dua NGO Melayu-Islam untuk cuba mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan, yang mengisytiharkan bahawa penggunaan Mandarin dan bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah vernakular adalah mengikut Perlembagaan.

Hakim Mary Lim berkata Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) gagal melepasi ambang yang ditetapkan oleh Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman.

“Para pemohon gagal meyakinkan kami bahawa kami boleh menggunakan budi bicara kami untuk memberikan kebenaran kepada mereka dan mendengar rayuan berhubung suatu persoalan undang-undang yang telah dipinda,” katanya, dalam keputusan majoriti bersama Hakim Rhodzariah Bujang.

Hakim Abdul Karim Abdul Jalil bagaimanapun berpandangan bahawa merit kes mereka itu wajar didengari.

Soalan terpinda yang dikemukakan kepada mahkamah adalah sama ada bahasa pengantar di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil yang ditubuhkan menurut Seksyen 2, 17 dan 28 Akta Pendidikan adalah untuk tujuan rasmi dan oleh itu tertakluk kepada Perkara 152(1) Perlembagaan yang mewajibkan penggunaan bahasa kebangsaan bagi semua maksud rasmi.

Pada 23 Nov lalu, Mahkamah Rayuan sebulat suara menolak rayuan Mappim, Gapena dan dua NGO lain yang memohon mahkamah mengisytiharkan penggunaan Mandarin atau bahasa Tamil di sekolah vernakular tidak sah mengikut Perlembagaan.

Hakim Azizul Azmi Adnan berkata, sekolah vernakular sudah lama diiktiraf dalam kerangka kerja perundangan sistem pendidikan negara sebelum merdeka dan kewujudan Perlembagaan pada 1957.

Katanya, sekolah vernakular bukannya pihak berkuasa awam seperti universiti, justeru penggunaan bahasa pengantar bukan Melayu untuk pengajaran bukan untuk maksud rasmi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.