
Terdahulu hari ini, Lowyat.net melaporkan bahawa ‘Padu’ serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, digodam kumpulan dikenali sebagai R00TK1T.
Menurut forum dalam talian itu, penggodam mendakwa mencuri data daripada ‘Padu’. Ia turut mendakwa kumpulan berkenaan menceroboh infrastruktur keselamatan LPPKN dan mencuri data bernilai lebih 27GB daripada pelayannya.
Lowyat.net kemudian menjelaskan bahawa ‘Padu’ yang dikatakan digodam R00TK1T merujuk kepada Unit Pengurusan dan Penyampaian Perkhidmatan LPPKN.
“Terima kasih Lowyat.net kerana tidak menyemak fakta terlebih dulu,” kata Rafizi dalam catatan di X.
“Sekurang-kurangnya anda patut hubungi @paduofficial_ untuk pengesahan.”
Padu dilancarkan pada 2 Jan dengan sasaran untuk memastikan penyampaian berkesan subsidi bersasar.
Rafizi sebelum ini berkata, pasukan yang membangunkan sistem itu telah meneliti keselamatan data, termasuk pengalaman pengguna.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memberitahu FMT, pihaknya sedang menyiasat dakwaan R00TK1T.