
Sebelum ini, program terbabit dikendalikan Kementerian Belia dan Sukan.
Menurut Speaker Johari Abdul, pelaksanaannya seperti PRU membabitkan 222 kerusi Parlimen yang dianjurkan lima tahun sekali.
Bagaimanapun, beliau berkata perinciannya masih dibincangkan dengan pemegang taruh.
“Kita akan buat penyesuaian kerana ketika ini Parlimen Belia cuma membabitkan 100 orang dan kita akan tingkatkan kepada 222 orang. Maksudnya semua kawasan Parlimen akan ada calon belia.
“Kita juga nak teliti bagaimana kita boleh laksanakan PRU belia membabitkan mereka yang berumur 16 atau 17 tahun sekarang yang ada pada peringkat pelajar sekolah boleh menjadi Ahli Parlimen,” katanya menurut Berita Harian.
Johari berkata langkah itu dapat menguji penyertaan masyarakat memilih Parlimen belia kerana peluang harus diberi kepada pemimpin muda.
“Kita perlu labur banyak terhadap belia dan kena betulkan apa yang berlaku dari sistem (Parlimen sekarang).
“Kalau kita tak buat, akan berlaku kepimpinan yang tidak sepadan,” katanya.
14 September lalu, Johari berkata pihaknya akan meningkatkan program Parlimen Belia bagi memastikan platform itu mampu menghasilkan pemimpin belia berkualiti untuk generasi masa depan.
Beliau berkata, rombakan secara besar-besaran akan dilakukan terutama dalam sistem pemilihan wakil Parlimen Belia kelak.