Sarawak mahu jadi hab penerbangan dunia, kata Abang Jo

Sarawak mahu jadi hab penerbangan dunia, kata Abang Jo

Premier Sarawak berkata status sebagai hab penerbangan dunia bakal membuka peluang ekonomi yang besar buat negeri itu.

Tahun lalu Abang Johari Openg berkata proses akhir pengambilalihan MASwings oleh kerajaan Sarawak dijangka dimuktamadkan suku kedua atau ketiga tahun ini. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Sarawak mahu menjadi hab utama penerbangan sama seperti di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) apabila syarikat penerbangannya mula beroperasi kelak.

Premier Sarawak, Abang Johari Openg, berkata status sebagai hab penerbangan dunia juga bakal membuka peluang ekonomi yang besar buat negeri ini.

“Jika kita gunakan model itu (Dubai) kita boleh membawa lebih banyak (peluang) ekonomi kepada rakyat kita. Sebab itu kita mahu ambil alih serta wujudkan syarikat penerbangan sendiri, bukan sahaja untuk mengimbangi harga pasaran tiket penerbangan malah untuk nilai tambah lain,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Hotel Sheraton Kuching.

Pada 20 Dis tahun lalu, Abang Johari berkata proses akhir pengambilalihan syarikat penerbangan MASwings Sdn Bhd (MASwings) oleh kerajaan Sarawak dijangka dimuktamadkan pada suku kedua atau ketiga tahun ini.

Beliau berkata, ketika ini proses penilaian wajar terhadap syarikat itu giat dijalankan oleh Kementerian Pengangkutan Sarawak serta Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan bersama Kementerian Pengangkutan persekutuan dan Khazanah Nasional Berhad.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.