Musim panas tak jejas tanaman padi di Kedah, kata Mada

Musim panas tak jejas tanaman padi di Kedah, kata Mada

Mada berkata prestasi kemajuan tanaman padi bagi Musim 2/2023 telah mencapai 99.3% melibatkan kawasan seluas 100,011 hektar.

Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) berkata jumlah bacaan hujan yang rendah tidak akan menjejaskan aktiviti tanaman padi musim ini yang dijangka selesai pada penghujung bulan depan.
ALOR SETAR:
Musim panas dan kering yang melanda negara khususnya di Kedah dilihat tidak memberi kesan terhadap aktiviti tanaman padi di Kawasan Muda, kata Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada).

Mada dalam kenyataan memaklumkan prestasi kemajuan tanaman padi bagi Musim 2/2023 sehingga hari ini telah mencapai 99.3% melibatkan kawasan seluas 100,011 hektar.

“Manakala peringkat berbunga sebanyak 80.3% dengan keluasan 80,831 hektar, tanaman masak sebanyak 38% dengan keluasan 38,282 hektar dan sebanyak 12.1% atau seluas 12,208 hektar padi pula telah dituai,” katanya.

Menurut Mada, jumlah takungan air ketiga-tiga empangannya pula berada pada paras selesa dan mencukupi bagi menampung keperluan sumber pengairan untuk aktiviti tanaman padi musim ini.

Katanya, takungan air di Empangan Pedu berada pada kadar 71.71%, Empangan Muda (72.80%) dan Empangan Ahning (93.96%).

Selain itu, Mada memaklumkan jumlah hujan di Kawasan Muda merekodkan bacaan lebih rendah iaitu 12mm berbanding purata hujan selama 20 tahun iaitu 47mm tidak akan menjejaskan aktiviti tanaman musim ini yang dijangka selesai pada penghujung bulan depan.

Beliau berkata bagi menghadapi musim cuaca kering, Mada tetap mengambil langkah berjaga-jaga dan melakukan tindakan segera dengan memaksimumkan penggunaan stesen pam guna semula bagi menjimatkan air daripada empangan.

“Mada turut menjalankan operasi membekalkan air pengairan secara penggiliran mengikut keperluan aktiviti persawahan di setiap wilayah berdasarkan fasa tanaman sehingga aktiviti Musim 2/2023 selesai sepenuhnya,” katanya.

Mada turut menasihatkan para peladang untuk menguruskan air di peringkat sawah secara berhemat bagi memastikan bekalan air dapat diagihkan dengan sempurna dan mengelakkan pembaziran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.