
Ketua jawatankuasa menangani harga makanan dan kos sara hidup itu berkata, beliau sebelum ini tidak pernah mengatakan Jemaah Menteri meluluskannya, sebaliknya hanya memberitahu cadangan penjualan beras berharga RM30 bagi kampit 10kg dipersetujui Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Saya tak cakap Kabinet setuju, hanya cakap PM setuju cadangan itu…sekarang mesti ikut prosedur bila menteri cakap kena bawa ke Kabinet.
“Terpulang kepada mereka (Kabinet) untuk luluskan,” katanya kepada FMT.
“Tunggulah, saya tak mahu ulas lanjut, 23 Feb pun ada mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (Naccol)” kata Ahli Parlimen Bukit Gantang itu ketika ditanya sama ada beliau yakin Jemaah Menteri akan meluluskan cadangannya.
Awal hari ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu menjelaskan pengenalan satu gred beras putih dikenali Beras Madani diumum Syed Hussin, Rabu lalu sebagai satu kekeliruan dan belum diputuskan kerajaan.
Mohamad berkata, sebarang ketetapan harus berpandukan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 dan dimaklumkan kepada Jemaah Menteri.
“Buat masa ini belum ada ketetapan dibuat ke atas cadangan beliau untuk mewujudkan satu gred beras putih sahaja di negara ini yang akan dikenali sebagai Beras Putih Malaysia Madani,” katanya.
Pengumuman Syed Hussin berhubung penjualan beras putih Malaysia Madani yang boleh dibeli pengguna mulai 1 Mac ini, menggantikan SST dan SSI turut menimbulkan persoalan ramai termasuk Pengarah Urusan Mydin Ameer Ali Mydin yang meminta penjelasan lanjut kerajaan.
Mendakwa pengumuman dibuat Syed Hussin sehari sebelum itu tidak jelas, Ameer bimbang pemansuhan untuk kategori SSI yang sebelum ini dijual RM40 bagi kampit 10kg akan menjejaskan bekalan beras di pasaran.
Beliau turut mempersoalkan sama ada beras putih Malaysia Madani itu adalah SST yang kini berharga RM26 atau beras import RM40 bagi atau beras campuran kedua-duanya.