
Anwar yang juga menteri kewangan berkata, setiap kutipan derma oleh organisasi perlu mengikut peraturan bagi memastikan ia dapat disalurkan kepada golongan sasar yang memerlukan.
Beliau berkata, kerajaan Madani sendiri sentiasa mengutamakan kepentingan dalam soal pengurusan kewangan dengan penekanan kepada tatakelola yang betul bagi mengelakkan ia disalah guna pihak tidak bertanggungjawab.
“Sebab itu kita cadangkan semua derma-derma ini ikut saluran dan kita minta supaya diteliti jumlahnya dan apa dibeli dan berapa banyak diserahkan, perlu ada ketelusan,” katanya selepas menghadiri sesi dialog sempena Majlis Perasmian Penutupan Pemukiman Setiausaha Akhbar dan Ketua Komunikasi Korporat.
“Itu sebabnya, dalam soal pengurusan tatakelola, kena teliti, kerana kita kutip derma, (contohnya) buat sekolah maahad tahfiz, kena ada peraturan, kalau tidak, dia kutip itu kemudian baiki rumah, sebab itu kita kena ikut peraturan.”
Turut hadir dalam program dua hari bermula semalam Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Mohamad Fauzi Md Isa.
Terdahulu, Anwar menjawab pelbagai soalan dikemukakan peserta terdiri setiausaha akhbar kepada menteri dan warga komunikasi korporat meliputi pelbagai topik dan isu semasa.