
Menjelaskan kekeliruan pengumuman oleh ketua jawatankuasa Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata sebarang ketetapan harus berpandukan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 dan dimaklumkan kepada Jemaah Menteri.

“Buat masa ini belum ada ketetapan yang dibuat ke atas cadangan beliau untuk mewujudkan satu gred beras putih sahaja di negara ini yang akan dikenali sebagai Beras Putih Malaysia Madani.
“KPKM bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam yang memaklumkan cadangan tersebut akan dibincangkan secara kolektif dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (Naccol) akan datang,” katanya dalam kenyataan.
Rabu lalu, Syed Hussin yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang mengumumkan penjualan beras putih Malaysia Madani pada harga RM30 kampit 10kg yang boleh didapati pengguna mulai 1 Mac.
Katanya, bagi beras putih Malaysia Madani kampit 5kg akan dijual pada harga RM15.50 dan 1kg RM3.50.
Bagaimanapun pengumuman pemansuhan beras putih tempatan (SST) dan beras putih import (SSI) itu menimbulkan persoalan termasuk dari Pengarah Urusan Mydin Ameer Ali Mydin yang meminta kerajaan memberikan penjelasan lanjut.
Mendakwa pengumuman dibuat Syed Hussin sehari sebelum itu tidak jelas, Ameer bimbang pemansuhan untuk kategori beras SSI yang sebelum ini dijual RM40 bagi kampit 10kg akan menjejaskan bekalan beras di pasaran.
Beliau turut mempersoalkan sama ada beras putih Malaysia Madani itu adalah SST yang kini berharga RM26 atau beras import RM40 bagi atau beras campuran kedua-duanya.