Bekas pengurus salah guna kuasa dipenjara 2 tahun, denda RM85,000

Bekas pengurus salah guna kuasa dipenjara 2 tahun, denda RM85,000

Jika gagal membayar denda, Mohd Saiful Nizam Hussin boleh dihukum penjara enam bulan.

Hakim membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. (Gambar X)
PETALING JAYA:
Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM85,000 kepada seorang bekas pengurus agensi kerajaan atas pertuduhan salah guna kuasa.

Sinar Harian melaporkan Hakim Dazuki Ali membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Mohd Saiful Nizam Hussin, 43, didakwa menggunakan jawatannya dengan mencadangkan sebut harga High Rich Venture milik isterinya bagi mendapatkan kerja penambahbaikan sistem pemotongan untuk mempelbagaikan produk hasilan kilang jejari berjumlah RM17,000 pada Mac 2015.

Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh yang mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, kesalahan dilakukan tertuduh menunjukkan dia mengkhianati tugas dan kuasa diberikan kepadanya.

Katanya, peruntukan hukuman di bawah Seksyen 23 (2) Akta SPRM 2009 yang tiada tempoh penjara minimum juga jelas menggambarkan kesalahan itu serius.

Sekiranya tertuduh gagal membayar denda, dia boleh dihukum penjara enam bulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.