Batu ‘kepala ular’ Taman Negara Bako runtuh

Batu ‘kepala ular’ Taman Negara Bako runtuh

Menteri Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah berkata batu ikonik itu musnah akibat hakisan ombak.

Formasi batu ikonik berbentuk kepala ular yang menjadi tarikan utama di Taman Negara Bako di Sarawak dilaporkan runtuh baru-baru ini.
PETALING JAYA:
Formasi batu ikonik yang dikenali sebagai ‘Turus Laut Kepala Ular’ di Taman Negara Bako, di Sarawak runtuh baru-baru ini adalah akibat unsur semula jadi, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah.

Bagaimanapun, Karim berkata kejadian itu tidak akan menjejaskan kehadiran pengunjung ke taman negara seluas 27km itu kerana masih banyak daya tarikan menarik di situ.

Katanya, tiada siapa dapat menghalang kemusnahan formasi batu yang menjadi daya tarikan ke Taman Negara Bako yang runtuh akibat hukum alam.

“Bahagian pangkal batu yang terbentuk daripada batuan pasir itu semakin mengecil akibat hakisan ombak kuat sejak sekian lama.

“Memang saya pun sedih dengan kehilangan batu yang menjadi daya tarikan pengunjung untuk merakam gambar kenangan itu, tetapi apa yang berlaku itu adalah disebabkan hukum alam,” katanya menurut Berita Harian.

Formasi batu berbentuk seperti kepala ular itu adalah tarikan utama pengunjung di Taman Negara Bako untuk bergambar.

Formasi batu itu dipercayai terbentuk akibat hakisan ombak dan air laut selama beratus-ratus tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.