Pahang umum perubahan portfolio exco hari ini

Pahang umum perubahan portfolio exco hari ini

Ini menyusul Adun Pelangai, Amizar Abu Adam mengangkat sumpah jawatan sebagai exco baharu semalam.

Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perubahan itu bagi memantapkan lagi pentadbiran kerajaan negeri dalam memberikan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat. (Gambar Bernama)
KUANTAN:
Perubahan portfolio exco Pahang akan diumumkan hari ini, kata Menteri Besar, Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata, perubahan itu bagi memantapkan lagi pentadbiran kerajaan negeri dalam memberikan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat.

“Sikit saja, tak ramai (perubahan portfolio)…ada sikit perubahan untuk tambah baik, kemaskan pentadbiran kerajaan negeri supaya lebih berkesan,” katanya selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan di depan Sultan Pahang, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Abdulaziz di sini semalam.

Dalam isitiadat itu, Adun Pelangai, Amizar Abu Adam mengangkat sumpah jawatan sebagai exco baharu.

Amizar, 50, berkata pelantikan itu mengejutkannya kerana hanya dimaklumkan pada 1 tengah hari semalam, justeru beliau menzahirkan penghargaan kepada Sultan Abdullah dan berterima kasih kepada Wan Rosdy yang memberikan kepercayaan kepadanya.

Katanya, amanah itu akan dijalankan sebaik mungkin, termasuk dalam isu membantu golongan asnaf dan membasmi kemiskinan yang menjadi keutamaan pelbagai pihak.

“Saya akan bersama-sama menteri besar untuk perkasa dan mantapkan lagi agenda pentadbiran kerajaan negeri untuk membantu rakyat.”

Amizar yang berasal dari Felda Chemomoi, Bentong memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai dalam PRK 7 Okt lalu dengan majoriti 2,949 undi menewaskan calon Perikatan Nasional, Kasim Samat dan calon bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.

PRK DUN Pelangai diadakan susulan kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Johari Harun maut dalam insiden pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.