Maqis tahan lelaki Myanmar cuba seludup 15kg tikus salai

Maqis tahan lelaki Myanmar cuba seludup 15kg tikus salai

Tikus salai itu ditemui dalam bagasi seorang penumpang di KLIA yang baru tiba dari Myanmar.

Pengarah Maqis Negeri Selangor, Mohd Sobri Md Hashim berkata, tikus salai seberat 15kg yang dirampas dari seorang lelaki Myanmar ketika menjalani pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Isnin lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas tikus salai seberat 15kg yang cuba dibawa masuk oleh seorang lelaki warga Myanmar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pengarah Maqis Negeri Selangor, Mohd Sobri Md Hashim berkata, tikus salai itu dirampas dalam pemeriksaan pada Isnin lalu kerana dibawa masuk tanpa kebenaran, lapor Sinar Harian.

Katanya, semua tikus salai itu yang dianggarkan bernilai RM300 dikesan dalam bagasi penumpang dari Myanmar.

“Rampasan itu berjaya dikesan dengan bantuan mesin pengimbas Jabatan Kastam dan pemeriksaan oleh pegawai Maqis,” katanya.

Sobri berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana mengimport keluaran hasilan haiwan tanpa permit sah.

Jika sabit dengan kesalahan individu boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Semua sedia maklum, tikus boleh menyebabkan penyakit berjangkit secara langsung dan tidak langsung.

“Sehubungan itu, tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.