Kerajaan perkenal beras putih Malaysia Madani RM30 kampit 10kg

Kerajaan perkenal beras putih Malaysia Madani RM30 kampit 10kg

Beras putih Malaysia Madani menggantikan beras putih tempatan (SST) dan beras putih import (SSI) yang dimansuhkan.

Beras putih Malaysia Madani akan berada di pasaran bermula 19 Feb ini.
PUCHONG:
Kerajaan memperkenalkan beras putih Malaysia Madani dijual pada harga RM30 bagi kampit 10kg berkuat kuasa 19 Feb dan pengguna boleh mendapatkannya di pasaran bermula 1 Mac ini.

Pengumuman itu dibuat Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, yang kini mengetuai jawatankuasa berkaitan isu menangani harga makanan dan kos sara hidup bawah Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol).

Beliau berkata, dengan nama baharu itu kategori beras putih tempatan (SST) dan beras putih import (SSI) dimansuhkan.

“Pengguna boleh mendapatkan bekalan beras putih berharga RM30/kampit di pasaran mulai 1 Mac.

“Tempoh 19 Feb hingga 1 Mac berikutan mengambil masa untuk dijual di pasaran,” katanya pada sidang media.

Syed Hussin berkata, cadangan itu dikemukakan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan dipersetujui untuk dilaksanakan.

“Saya telah diberi amanah sebagai jawatan (Naccol) untuk menyelesaikan sedikit-sebanyak kos sara hidup ini (dan) saya kena buat tindakan pantas. Ini pengumuman,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata bagi beras putih Malaysia Madani untuk kampit 5kg akan dijual pada harga RM15.50 dan 1kg RM3.50.

Katanya, dengan itu ia memberi peluang kepada petani dan pesawah selesa dengan harga siling beras yang diumumkan.

“Ini memberi ruang selama 18 tahun harga beras tidak naik. Industri juga boleh ‘survive’ dengan harga RM30 untuk 10kg,” katanya.

Syed Hussin berkata, kerajaan turut membenarkan bungkusan lama dipakai tetapi mesti dipotong dan ditampal dengan pelekat RM30.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.