Buruh terlepas hukuman gantung, dipenjara 10 tahun miliki dadah

Buruh terlepas hukuman gantung, dipenjara 10 tahun miliki dadah

Mahkamah Rayuan mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhi terhadap Ahmad Tajuddin Mansor pada 2021.

Panel Mahkamah Rayuan hari ini mensabitkan Ahmad Tajuddin Mansor, 56, atas kesalahan memiliki dadah dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dari tarikh tangkap 29 Jun 2016.
PUTRAJAYA:
Seorang buruh terlepas hukuman gantung apabila Mahkamah Rayuan hari ini mengetepikan sabitan dan hukuman mati atas kesalahannya mengedar dadah methamphetamine seberat 63.7g lapan tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Hadhariah Syed Ismail mensabitkan Ahmad Tajuddin Mansor, 56, selaku perayu atas kesalahan memiliki dadah dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dari tarikh tangkap 29 Jun 2016.

“Dengan mengambil kira berat dadah dalam kes ini ialah 63.7g, mahkamah sebulat suara menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dari tarikh tangkap (29 Jun 2016) dan disebabkan perayu berumur 56 tahun, maka dia terselamat daripada hukuman sebatan.

“Oleh itu, hukuman dan sabitan bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya diketepikan dan digantikan dengan hukuman penjara 10 tahun,” kata Hakim Hadhariah yang bersidang bersama-sama Hakim Azman Abdullah dan Azmi Ariffin.

Ahmad Tajuddin didakwa memiliki dadah seberat 63.7g itu di sebuah rumah di Gurun, Kedah pada 29 Jun 2016, mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, dan boleh dihukum bawah Seksyen 39A (2) akta sama.

Pada 9 Mac 2021, Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap bapa anak empat itu selepas didapati bersalah mengedar dadah mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukkan hukuman mati.

Terdahulu, peguam Muhammad Syawal Mohd Razak yang mewakili Ahmad Tajuddin memaklumkan mahkamah bahawa representasi yang dikemukakan pihak pembelaan pada 3 Jan lepas bagi mengetepikan hukuman gantung diterima Jabatan Peguam Negara.

Timbalan Pendakwa Raya Fauziah Daud mengesahkan pihak pendakwaan menerima representasi tersebut dan memohon mahkamah menggantikan Seksyen 39B(1)(a) kepada Seksyen 12(2), iaitu membabitkan kesalahan memiliki dadah.

“Oleh itu, bagi hukuman bawah kesalahan memiliki dadah, pihak pendakwaan memohon supaya hukuman penjara 12 tahun dikenakan terhadap perayu,” kata Fauziah.

Muhammad Syawal pula memohon supaya anak guamnya dikenakan hukuman penjara 10 tahun dari tarikh tangkap pada 29 Jun 2016.

“Saya mohon supaya hukuman penjara 10 tahun dikenakan terhadap anak guam memandangkan tidak lama lagi akan menyambut bulan Ramadan.

“Anak guam telah insaf, serik dan bertaubat atas perbuatan dilakukan,” kata peguam itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.