Peniaga jual tapak karnival Aidilfitri akan disenarai hitam

Peniaga jual tapak karnival Aidilfitri akan disenarai hitam

Majlis Perbandaran Kubang Pasu berkata tindakan tegas akan dikenakan terhadap peniaga dikenal pasti melakukan kesalahan itu.

Peniaga diberi amaran jika didapati menjual tapak, mereka akan disenarai hitam dan tapak itu akan ditarik balik.
JITRA:
Peniaga yang membida dan berjaya mendapat tapak karnival Aidilfitri 2024 di Kubang Pasu diingatkan tidak menjual lot jualan diperoleh mereka kepada pihak lain.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP), Badrulhisham Sulaiman, berkata pihaknya akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada pihak melakukan kesalahan itu supaya ia adil kepada semua pihak.

“MPKP akan melakukan pemantauan bermula hari pertama karnival Aidilfitri beroperasi dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana peniaga yang dikenal pasti melakukan kesalahan itu.

“Saya beri amaran kepada peniaga jika didapati ada yang menjual tapak mereka, kita akan senarai hitamkan peniaga itu dan menarik balik tapak yang berjaya mereka bida,” katanya selepas Majlis Pelancaran Pelan Pembangunan Daerah Kubang Pasu.

Badrulhisham berkata, pihaknya juga mengalu-alukan aduan orang ramai jika mereka mempunyai maklumat mengenai penjualan tapak kepada orang lain oleh peniaga asal.

“Kita tidak mahu menindas peniaga yang betul-betul mahu berniaga tetapi tidak berjaya mendapat tapak. Diharapkan peniaga dapat menjana keuntungan pada tahun ini memandangkan harga tapak karnival diperoleh dengan murah.

“Sebanyak 58 tapak (jualan) akan menjadi tumpuan di karnival yang akan dibuka di hadapan Pasaraya Yawata, Jitra (sepanjang Ramadan) dan diharapkan peniaga serta pengunjung dapat menjaga kebersihan di tapak karnival berkenaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.