Pasukan periksa peralatan keselamatan setiap bangunan akan tubuh, kata bomba

Pasukan periksa peralatan keselamatan setiap bangunan akan tubuh, kata bomba

Sebahagian bangunan di ibu negara ini dibina sebelum penguatkuasaan Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984.

Bomba mahu bangunan yang dibina sebelum 1984 diperiksa, menurut Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Nor Hisham Mohammad. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Sebuah pasukan khas akan ditubuhkan bagi memeriksa peralatan keselamatan yang dipasang di setiap bangunan agar berfungsi dengan baik, kata Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Nor Hisham Mohammad.

Beliau berkata ini bagi memastikan sistem pemadaman kebakaran berfungsi dan dapat digunakan apabila berlaku kecemasan.

“Antara faktornya sebahagian bangunan di ibu negara ini dibina sebelum penguatkuasaan Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984 iaitu bangunan dipasang sistem pencegahan kebakaran berbeza daripada apa yang disyaratkan.

“Sebagai contoh, Flat Sri Sabah ini sepatutnya paip air yang dipasang dibekalkan secara automatik iaitu salur pancur basah, air terus daripada tangki tetapi ia dipasang dengan pancur yang memerlukan bomba bekalkan air dari bawah.

“Daripada konteks ini, paip itu bocor dan tidak sampai ke Tingkat 17. Ini yang kita minta supaya buat program yang boleh kita uji bersama tahap keberkesanan,” katanya dalam temu bual eksklusif Bernama Radio.

Beliau berkata sekiranya terdapat bangunan yang tidak menepati kriteria yang ditetapkan maka tindakan penguatkuasaan boleh dikenakan dan perlu ditambah baik sekiranya terdapat sistem pencegahan yang didapati tidak dapat berfungsi dengan baik.

“Hasil pemeriksaan akan dilakukan secara menyeluruh. Untuk periksa bangunan, perumahan awam yang dibina sebelum 1984 terutamanya, di seluruh negara,” katanya.

Hisham berkata bomba akan memeriksa lebih 14,000 premis termasuk inap desa dan pusat beli belah di seluruh negara dalam memastikan keselamatan berada pada tahap tertinggi.

Dalam pada itu, beliau berkata tindakan kompaun boleh dikenakan terhadap mana-mana pihak yang didapati menghalang atau meletakkan kenderaan di kawasan perkakas bomba.

Selain itu, isu berkenaan alat keselamatan kebakaran seperti pili air bomba yang rosak merupakan tanggungjawab bersama seperti pemilik bangunan atau pihak pengurusan dan bukannya pihak bomba semata-mata.

“Kita tak dapat nak pergi tiap-tiap tahun. Yang penting, apabila ada sistem, kita mesti ada penyelenggaraan . Kita digalakkan buat secara kendiri selenggara itu agar sistem itu berada dalam keadaan baik,” katanya.

Beliau berkata penduduk setempat boleh mendesak pihak pengurusan agar lakukan penyelenggaraan kerana setakat ini, terdapat lebih 100 aduan daripada pihak komuniti mengatakan pihak pengurusan tidak menjalankan tugas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.