PBT Johor diarah ‘gempur’ pemilik sewa premis warga asing

PBT Johor diarah ‘gempur’ pemilik sewa premis warga asing

Exco Johor Mohd Jafni Md Shukor berkata ia termasuk batal dan senarai hitam nama pemilik.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Mohd Jafni Md Shukor, berkata proses pemutihan sedang berjalan supaya warga asing tidak berniaga. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pihak berkuasa tempatan (PBT) Johor diarah ‘turun padang’ menyemak lesen perniagaan bagi tujuan pembatalan dan senarai hitam nama pemilik yang menyewa perniagaan kepada warga asing.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Mohd Jafni Md Shukor, berkata 16 PBT diarah berbuat demikian termasuk mewujudkan Jawatankuasa Khas bagi menangani isu tersebut.

“Saya sudah keluarkan arahan awal tahun ini kepada 16 PBT Johor untuk mula ambil tindakan dan tubuhkan Jawatankuasa Khas serta turun ke lapangan untuk semak lesen perniagaan terutama yang dikendalikan warga asing.

“Jika (lesen perniagaan) disewakan pemilik kepada warga asing atau ‘Ali Baba’, maka kita boleh batalkan lesen dan senarai hitam terus, jangan ingat kebal. Kerajaan Johor tidak pernah keluarkan lesen perniagaan termasuk penjaja kecil kepada warga asing. Mereka diharamkan berniaga.

“PBT di Johor sudah mula menyita dan merampas perniagaan terutama gerai penjaja yang dikendalikan warga asing malah gerai dimiliki PBT juga sedang menjalani proses pemutihan supaya tiada warga asing yang menyalahgunakan lesen perniagaan dikeluarkan,” katanya menurut Harian Metro.

Sementara itu, Jafni berkata kerajaan Johor sudah membangkitkan isu perniagaan dikendalikan warga asing menggunakan nama orang tempatan yang dibuat menerusi perkahwinan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, baru-baru ini.

Katanya, isu itu dibangkitkan supaya ada prosedur dan kawalan tertentu dirangka kementerian supaya lesen perniagaan tidak disalahgunakan warga asing untuk berniaga di negara ini.

“Kita juga sudah minta supaya semua PBT meningkatkan operasi berkala bersama plis dan imigresen bagi membanteras peniaga warga asing termasuk di pasar kerana mereka ‘membunuh’ peniaga tempatan.

“Peniaga warga asing ini terutama di pasar bila jual ikan kembung contohnya RM10, sedangkan peniaga tempatan jual RM15 kerana kos lebih tinggi sedangkan warga asing tak ada kos serta berniaga secara haram,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.