
Terdahulu, menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu dilaporkan mahu bertemu Umno untuk menjelaskan cadangan itu.
Presiden Umno Zahid Hamidi, yang juga timbalan perdana menteri berkata, Nga belum menghubunginya mengenai perbincangan itu.
“Beliau tidak pernah menghubungi saya, mungkin pemimpin lain saya tidak tahu.
“Namun Umno tetap dengan pendirian menolak keras cadangan Nga,” katanya selepas menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina di Bagan Datuk, Perak, menurut Berita Harian.
Dilaporkan sebelum ini Nga bercadang mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai tapak warisan dunia, bertujuan untuk mengiktiraf perkampungan berusia 76 tahun itu dari segi sejarah dan kepentingan budaya.
Beliau mengajak Umno berbincang susulan kenyataan beberapa pemimpin parti itu yang dilaporkan menolak keras cadangan itu.
Timbalan Presiden Mohamad Hasan berkata, tiada keperluan untuk kampung itu dijadikan tapak warisan dunia, manakala Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan cadangan sedemikian bercanggah dengan Perlembagaan, yang mengiktiraf hanya Bumiputera sebagai penduduk asal dengan keistimewaan tertentu.