
Berdasarkan notis dikongsi seorang mangsa, ejen yang juga majikan didakwa berselindung di sebalik syarikat pembinaan itu diarahkan menghadiri prosiding di Pejabat Jabatan Tenaga Kerja Bangi bagi mendengar tuntutan tunggakan gaji dari September hingga Disember, dianggarkan bernilai RM389,750.
Kes didengar bawah Akta Kerja 1955, iaitu membabitkan tuntutan kewangan oleh pekerja dan majikan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Abdul Rahman Mohamad ketika dihubungi FMT mengesahkan kes terbabit dalam “radar” pihaknya untuk tindakan susulan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).
“Tindakan telah diambil oleh JTKSM untuk siapkan nota makluman,” katanya.
Pada 6 Jan, FMT melaporkan penderitaan sekumpulan warga Bangladesh yang diperdaya ejen, tidak mendapat pekerjaan dan gaji dijanjikan sejak tiba pada September.
Keadaan itu menyebabkan mereka terpaksa mengalas perut dengan nasi berlaukkan kuah dhal setiap hari kerana tiada sumber pendapatan selepas semua wang mereka diberikan kepada ejen untuk masuk ke Malaysia.
Dalam laporan itu, warga Bangladesh terlibat turut mendakwa tidak dapat berbuat apa-apa kerana pasport dan dokumen lain dipegang oleh majikan, juga warga Bangladesh, yang menyuruh mereka mencari kerja sendiri jika terus mendesak.
Mereka mendakwa membayar kira-kira RM20,000 seorang kepada ejen di Bangladesh untuk proses masuk dan bekerja ke Malaysia.
Jumaat lepas, kumpulan warga asing itu dilaporkan “dihalau” kira-kira enam jam daripada asrama didiami di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur kerana majikan mereka tidak membayar kos penginapan.
Bagaimanapun, mereka dibenarkan tinggal buat sementara waktu susulan campur tangan Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (Papsma) yang memaklumkan perkara itu kepada JTKSM.
Sementara itu, Presiden Papsma Kris Foo Yin Choo berharap masalah dihadapi warga Bangladesh terbabit dapat diselesaikan segera dan pasport mereka yang kini didakwa dipegang ejen terbabit dikembalikan.
“Kalau pekerja itu ada pasport, kalau ada kontraktor atau kilang nak ambil mereka bekerja, kita boleh terus syorkan, bawa majikan itu ‘interview’ (temuduga) mangsa untuk jadikan pekerja,” katanya.
“Buat apa (majikan) nak simpan pekerja itu lama-lama kalau tak ada kerja?.”