ERL perlu pemasaran kukuh untuk bersaing dengan Grab, bas, kata pakar

ERL perlu pemasaran kukuh untuk bersaing dengan Grab, bas, kata pakar

Lanjutan perjanjian konsesi akan memberi kuasa kepada syarikat itu untuk memperkenalkan sistem tambang 'dipacu pasaran', kata Goh Bok Yen.

Pakar pengangkutan Goh Bok Yen menjangka Express Rail Link Sdn Bhd tidak lama lagi akan dapat berfungsi tanpa memerlukan subsidi kerajaan. (Gambar Wikipedia)
PETALING JAYA:
Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) memerlukan strategi pemasaran yang kukuh untuk kekal berdaya saing terhadap alternatif seperti bas dan perkhidmatan e-panggilan seperti Grab, kata seorang pakar pengangkutan.

Goh Bok Yen berkata kemunculan Grab memberi cabaran kompetitif kepada ERL, yang mula beroperasi pada 2002 tanpa saingan daripada perkhidmatan e-panggilan.

“Mereka sepatutnya mempunyai strategi pemasaran sendiri (untuk mengatasi cabaran ini). Sudah tentu, ia juga bersaing dengan bas,” katanya kepada FMT.

Goh berkata demikian selepas kerajaan melanjutkan perjanjian konsesi ERL untuk perkhidmatan tren ke KLIA selama 30 tahun lagi sehingga 2059.

Goh Bok Yen.

Beliau yang melihat lanjutan itu sebagai langkah positif ke hadapan, turut menjangkakan ERL tidak lama lagi akan dapat berfungsi tanpa memerlukan subsidi kerajaan.

“Projek sebegini biasanya hanya memerlukan subsidi pada awalnya. Saya akan katakan ini adalah satu langkah yang logik,” katanya.

Perjanjian konsesi itu juga akan memperkasakan ERL, yang mengendalikan KLIA Transit dan KLIA Ekspres, untuk memperkenalkan sistem tambang “dipacu pasaran” – prospek yang dialu-alukan oleh Presiden Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam Malaysia (4PAM) Ajit Johl.

Ajit berkata langkah ERL kepada penetapan harga dipacu pasaran adalah keputusan yang positif dan dialu-alukan, berikutan persaingan daripada Grab dan alternatif lain yang menawarkan tambang lebih murah.

“Ia memberi galakan kerana membuka lebih banyak persaingan dan menjadikannya lebih berdaya saing. Kos akan sentiasa dipacu oleh (persaingan), terutamanya dalam pengangkutan awam.

“Apabila operator telah mendapatkan balik pelaburan mereka dan mencapai pulangan yang dijangkakan, syarikat menjadi bebas dari segi kewangan, membolehkan operator menetapkan kadar mereka sendiri,” katanya kepada FMT.

Ajit berkata ERL harus meningkatkan kualiti perkhidmatannya atau sekurang-kurangnya mengekalkan tahap perkhidmatan semasanya, biarpun bayaran dikurangkan.

“Akan sentiasa ada pasaran untuk ERL, sama seperti akan sentiasa ada pasaran untuk perkhidmatan perkongsian perjalanan.

“Jika anda melancong secara solo, ERL mungkin pilihan yang lebih menjimatkan, tetapi jika anda melancong bersama kumpulan, Grab boleh menawarkan penjimatan kos. Akan sentiasa ada pengembara solo dan berkumpulan,” katanya.

Ajit Johl.

Ajit juga berkata sudah tiba masanya ERL mula menawarkan pakej kumpulan untuk menarik lebih ramai penumpang.

“Pertimbangkan untuk menyediakan pilihan makanan, kerana perjalanan mengambil masa antara 45 minit hingga sejam. Tingkatkan juga pengalaman perjalanan dengan mesin layan diri tambahan dan kemudahan yang serupa. Ia pada asasnya untuk menjadikannya perjalanan yang lebih selesa,” katanya.

Pada 23 Jan, menteri pengangkutan Loke Siew Fook berkata pelaksanaan sistem tambang dipacu pasaran akan membebaskan kerajaan daripada tanggungjawabnya untuk membayar pampasan kepada ERL.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.