
Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, berkata parti itu akan terus menyokong sebarang usaha untuk menyelesaikan sebarang anomali dalam undang-undang.
“Keputusan semalam dia tidak ada langsung berkaitan untuk kita memperkecilkan, ataupun mahkamah persekutuan memperkecilkan kuasa ataupun status mahkamah syariah ataupun agama Islam itu sendiri.
“Ia lebih kepada teknikal, lebih kepada bahawa enakmen di Kelantan, bertindih dengan apa yang telah ada dalam mahkamah ataupun perundangan persekutuan,” katanya kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran MCA di Wisma MCA, hari ini.
Mohamad mengulas demikian selepas Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin menggesa semua pihak berkepentingan, tanpa mengira parti, membincangkan pindaan perlembagaan untuk memperkukuh sistem perundangan syariah.
Beliau berkata adalah penting bagi menegakkan hak orang Melayu untuk menganut dan mengamalkan Islam seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
Semalam, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan memihak petisyen difailkan peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid untuk membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dengan alasan ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Panel sembilan hakim, yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, mencapai kesimpulan dalam keputusan majoriti 8-1 bahawa DUN tiada kuasa meluluskan 16 peruntukan dalam enakmen itu kerana kesalahan terbabit dirangkumi bawah undang-undang persekutuan.
Selain itu, Mohamad berkata parti itu akan merujuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), menteri dan pihak berkaitan sama ada perlu untuk mengelakkan perkara itu berulang kerana ia akan mencemarkan sistem perundangan syariah dan badan kehakiman.