Tiada kem dalam Bersatu, semua masalah dah ‘OK’, kata Peja

Tiada kem dalam Bersatu, semua masalah dah ‘OK’, kata Peja

Timbalan presiden Bersatu itu berkata, sekalipun ada masalah berbangkit, semuanya telah diselesaikan secara baik.

(Dari kanan) Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu; Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin; Presiden Gerakan Dominic Lau; Ketua Penerangan PN Azmin Ali, dan Naib Presiden Bersatu Radzi Jidin pada majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Gerakan di Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR:
Tiada kem dalam Bersatu, tegas Ahmad Faizal Azumu susulan timbulnya dakwaan berlaku perpecahan dalam parti itu sehingga ada pemimpin utamanya dikatakan “merisik jawatan” dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ahmad Faizal, yang juga timbalan presiden Bersatu berkata, sekiranya ada masalah berbangkit, ia telah diselesaikan secara baik.

“Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu baru-baru ini berjalan lancar dan kalau ada masalah telah diselesaikan dengan baik.

“Kami akan adakan pemukiman dan saya yakin usaha berjuang untuk rakyat akan jadi fokus utama,” katanya kepada media selepas rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Gerakan.

Minggu lepas, FMT memetik sumber melaporkan seorang pemimpin utama Bersatu baru-baru ini sering kelihatan di Pejabat Perdana Menteri (PMO) dipercayai melakukan rundingan demi kelangsungan beberapa pemimpin tertentu sehingga pilihan raya parti berlangsung.

Sumber yang enggan dinamakan itu mendakwa, pemimpin Bersatu tersebut menjanjikan lebih banyak sokongan Ahli Parlimen Bersatu kepada kerajaan.

“Lebih ramai lagi” wakil rakyat Bersatu dijangka mengisytiharkan sokongan kepada Anwar, kata sumber itu lagi.

Setakat ini, enam Ahli Parlimen Bersatu telah berbuat demikian sambil kekal menjadi ahli parti. Langkah kumpulan itu mendorong Bersatu merancang meminda perlembagaan parti bagi mengelak perkara sama berulang.

Khamis lepas, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin, yang juga ketua pembangkang menegaskan beliau tidak pernah berunding dengan Anwar di PMO untuk mendapat jawatan seperti didakwa.

Beliau malah tidak pernah bertemu dengan Anwar sejak presiden PKR itu menjadi perdana menteri pada November 2022, jelasnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.