
Ketua Polis Timur Laut Razlam Ab Hamid berkata insiden tular membabitkan pengadu berusia 24 tahun itu dikesan selepas satu hantaran dimuat naik oleh di aplikasi X menerusi akaun ‘isu semasa viral’.
“Kita mengesan satu hantaran dimuat naik yang tular di media sosial apabila penghuni sebuah inap desa mendakwa menjadi mangsa intip menggunakan kamera tersembunyi dalam bilik air.
“Pengadu mendaftar masuk di inap desa terbabit bersama tiga rakan pada 5 Feb untuk tujuan bercuti. Dia mendakwa terjumpa satu kamera tersembunyi dalam bekas pewangi tandas di bilik air sebelum memaklumkan pengurusan inap desa dan membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata hasil pemeriksaan awal terhadap kamera itu mendapati tiada imej atau video yang terkandung dalam storannya.
“Polis menyiasat kes ini di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan seseorang,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes terbabit hingga boleh menjejaskan siasatan polis.