Tabung Haji dijangka umum dividen April ini

Tabung Haji dijangka umum dividen April ini

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na'im Mokhtar berkata pengagihan itu dilakukan selepas audit penuh dijalankan.

Dividen Tabung Haji dijangka akan diumumkan pada April selepas audit penuh dijalankan, kata Mohd Na’im Mokhtar.
KUALA LUMPUR:
Pengumuman dan agihan dividen Tabung Haji (TH) bagi tahun kewangan 2023 dijangka pada April ini iaitu setelah audit penuh dijalankan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata langkah itu dilaksanakan berikutan teguran Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) sebelum ini agar audit dijalankan sebelum agihan dividen.

“Sekarang adalah masa pengauditan dijalankan, jadi insya-Allah menjelang April nanti kita akan umumkan berapa dividennya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menziarahi asnaf di sini semalam.

Ditanya jika agihan pada tahun ini akan membawa khabar gembira kepada pendeposit, Na’im meluahkan harapan supaya pihak pengurusan tertinggi TH dapat mencari jalan terbaik bagi mengimbangi pemberian dividen yang munasabah tanpa menjejaskan bantuan kewangan kepada jemaah haji dalam golongan B40 dan M40.

“Sebab ia tabung yang sama kalau kita berikan dividen yang tinggi ia akan mengurangkan bantuan kewangan kepada jemaah haji B40 dan M40, jadi pihak pengurusan tertinggi TH, saya harap dapat memikirkan dan mencari jalan yang terbaik,” katanya.

Sebelum ini, TH mengumumkan agihan keuntungan tahun kewangan 2022 pada kadar 3.10% setelah mengambil kira zakat 2.57% melibatkan jumlah agihan sebanyak RM2.65 bilion kepada lebih 8.7 juta pendeposit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.