Pinda segera Perlembagaan, beri DUN kuasa putus jenayah syariah, gesa Fadhli

Pinda segera Perlembagaan, beri DUN kuasa putus jenayah syariah, gesa Fadhli

Ahmad Fadhli Shaari berkata mudah untuk kerajaan melakukannya kerana mempunyai sokongan dua pertiga wakil rakyat.

Ahmad Fadhli Shaari mendakwa keputusan Mahkamah Persekutuan menerima petisyen Nik Elin Zurina Abdul Rashid dan anaknya akan memberi kesan terhadap undang-undang syariah di negeri lain.
PETALING JAYA:
Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari menggesa kerajaan menyegerakan pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk memberi kuasa kepada DUN membuat keputusan berkaitan jenayah terutama berkaitan syariah.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas itu, keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini memihak petisyen difailkan peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid untuk membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dijangka turut memberi kesan di seluruh negara.

Kesan terbabit katanya membabitkan kompentensi DUN di negeri lain dalam menggubal undang-undang syariah yang dilihat ‘bertentangan’ dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Kita mendesak kerajaan menyegerakan usul meminda Perlembagaan di Parlimen dengan memasukkan bidang kuasa jenayah di bawah Senarai III, Senarai Bersama supaya jelas memberi kuasa kepada DUN membuat undang-undang kesalahan jenayah termasuk jenayah syariah.

“Kerajaan sekarang sudah lebih dari stabil serta telah mendapat dua pertiga sokongan ahli-ahli Dewan Rakyat, saya yakin usaha ini sangat mudah dilakukan kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan itu dengan alasan ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Panel sembilan hakim, yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, mencapai kesimpulan dalam keputusan majoriti 8-1 bahawa DUN tiada kuasa meluluskan 16 peruntukan dalam enakmen itu kerana kesalahan terbabit dirangkumi bawah undang-undang persekutuan.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli yang membuat penghakiman bertentangan berpendapat DUN mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

Hakim lain bersidang terdiri Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya Zabidin Diah dan Hakim Nallini Pathmanathan, Mary Lim, Harmindar Singh Dhaliwal, Nordin Hassan serta Abu Bakar Jais.

Nik Elin Zurina dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman memfailkan cabaran perlembagaan itu pada 2022 untuk mempersoalkan kuasa DUN Kelantan meluluskan enakmen itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.