
“Adakah perkara ini sesuatu yang pembangkang tak tahu? Pembangkang tahu”
“Supaya nak menggunakan sentimen supaya orang Islam merasakan kerajaan pimpinan Anwar ini memang menentang syariah. Padahal tidak kena mengena dengan kita (kerajaan persekutuan),” katanya pada majlis bersama penjawat awam di Melaka.
Anwar mengulas keputusan panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan bahawa DUN tiada kuasa meluluskan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 kerana kesalahan terbabit dirangkumi bawah undang-undang persekutuan. Hanya satu hakim yang menentang.
“Lebih bahaya apa yang dilakukan (pembangkang) hari ini. Buat perhimpunan di hadapan Mahkamah Persekutuan seolah olah kerajaan hari ini yang menentang di syariah Islam.”
Kata Anwar, rakyat tahu tentang situasi itu tetapi dipolitikkan oleh pembangkang.
Tambahnya, pembangkang memainkan sentimen agama dalam usaha menonjolkan kerajaan persekutuan pimpinan beliau menentang Islam sedangkan permohonan kedua-dua wanita difailkan ketika Perikatan Nasional menjadi kerajaan, lapor Bernama.
“Undang-Undang Negeri Kelantan, yang cabar orang Kelantan, dia cabar di Mahkamah Persekutuan bukan Jemaah Menteri, bukan perdana menteri dan nak tanya sama ada undang-undang itu ikut, sah dari segi proses atau tidak dan mahkamah memutuskan dari segi bidang kuasa dan proses, tidak betul.
“Apa yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu Perikatan Nasional, dia tak bantah (ketika permohonan cabaran undang-undang dikemukakan). Ini berlaku pada 2020 dan 2021 (tapi) sekarang dibantah, dijadikan bahan politik,” katanya.
Anwar berkata kerajaan ketika ini menubuhkan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi mengkaji perkara berkaitan undang-undang syariah di setiap negeri.
“Dulu tidak ada tindakan di peringkat jawatankuasa kebangsaan untuk mengkaji bidang kuasa Mahkamah Syariah dan kuasa tentang hukum syariah, sekarang sudah ada.”
Terdahulu hari ini, lebih 1,000 orang berkumpul di luar Mahkamah Persekutuan untuk membantah keputusan itu.
Mahkamah Persekutuan dengan keputusan 8-1 memutuskan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 sebagai batal dan tidak sah.
Keputusan itu dibacakan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel sembilan hakim selepas membenarkan permohonan oleh peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman untuk mencabar peruntukan itu.