
Komen itu menyusul keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 atas alasan ia bercanggah Perlembagaan Persekutuan.
Panel sembilan hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, mencapai kesimpulan dalam keputusan majoriti 8-1 bahawa DUN tiada kuasa meluluskan 16 peruntukan dalam enakmen itu kerana kesalahan terbabit dirangkumi bawah undang-undang persekutuan.
Na’im berkata, pihaknya mengambil maklum keputusan itu dan sebagai tindakan segera, beliau mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) berusaha mendapatkan alasan penghakiman bertulis kes tersebut untuk tujuan kajian dan perancangan selanjutnya.
Katanya, selaras kajian atas alasan penghakiman kes itu, perancangan lanjut akan dibuat segera bagi memastikan agenda penambahbaikan dan pemerkasaan Mahkamah Syariah terus berjalan di Malaysia.
Menurutnya, beberapa penyesuaian terhadap pelan dan rancangan sedia ada juga akan dilaksanakan selaras keputusan kes itu dengan segala ruang dan peluang yang wujud untuk pemerkasaan Mahkamah Syariah.
“Saya akan segera memohon perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Sultan Nazrin Shah, timbalan Yang di-Pertuan Agong untuk menyembah maklum keputusan mahkamah hari ini.
“Saya juga akan segera memohon menghadap Sultan Selangor selaku pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Raja-raja Melayu untuk menyembah maklum perkara berkaitan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pemegang taruh dan semua pihak terlibat dengan Mahkamah Syariah akan dipanggil untuk berbincang serta menilai langkah pemerkasaan seterusnya dan jika terdapat keperluan melakukan apa-apa pindaan atau reformasi undang-undang, ia akan segera dilakukan.
“Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN untuk Menggubal Undang-Undang Islam dipengerusikan bekas ketua hakim negara Zaki Azmi akan mengkaji isu berkaitan dengan kompetensi DUN serta bidang kuasa Mahkamah Syariah sebagaimana diperuntukkan bawah butiran 1, Senarai II-Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
“Hasil kajian, pandangan dan syor dicadangkan jawatankuasa khas ini akan dibentangkan dalam MKI dan Majlis Raja-Raja,” katanya.
Na’im menyeru semua pihak bertenang dan tidak melakukan provokasi yang boleh mengundang keresahan awam.