Bekas pensyarah, akauntan rugi RM6.47 juta ditipu scammer

Bekas pensyarah, akauntan rugi RM6.47 juta ditipu scammer

Bekas pensyarah itu ditipu individu menyamar pegawai polis manakala akauntan terjerat dengan skim pelaburan kripto.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
SHAH ALAM:
Seorang bekas pensyarah wanita universiti awam dan akauntan masing-masing berputih mata selepas menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian melibatkan kerugian berjumlah RM6.47 juta pada awal bulan ini.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata bekas pensyarah berusia 61 tahun itu dalam laporannya mendakwa dia dihubungi suspek menerusi telefon yang menyamar sebagai Pegawai Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).

Beliau berkata suspek memaklumkan kononnya bekas pensyarah itu ada menjalankan aktiviti perjudian serta pengubahan wang haram.

“Wanita itu menafikan perkara berkenaan dan dia diarah meletakkan dua kad banknya di tepi jalan untuk diambil suspek sebelum menyedari 262 transaksi wang berjumlah RM1.43 juta dibuat daripada kedua-dua akaun bank miliknya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata akauntan lelaki berusia 55 tahun itu pula kerugian berjumlah RM5.04 juta akibat ditipu sindiket pelaburan mata wang kripto.

“Pada Ogos tahun lepas, mangsa dikatakan telah berkenalan dengan seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai ‘William’ menerusi aplikasi WhatsApp yang menawarkan keuntungan berlipat kali ganda dalam tempoh singkat.

“Mangsa yang berminat dan bersetuju untuk melabur, kemudian diajar suspek untuk memindahkan wang ke dalam akaun e-dompet menerusi 143 kali pindahan sebelum mendapati akaun pelaburan itu gagal diakses dan suspek menghilangkan diri,” katanya.

Hussein berkata kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak melayan sebarang panggilan telefon daripada individu tidak dikenali.

Beliau menegaskan bahawa polis serta jabatan kerajaan tidak menjalankan siasatan yang melibatkan hal perbankan orang awam secara dalam talian.

“Bagi kes pelaburan kripto, polis meminta orang ramai tidak mudah terpedaya dengan iklan pelaburan, saham atau apa-apa yang ditawarkan melalui media sosial yang kononnya boleh memberi pulangan besar masa singkat.

“Orang ramai diingatkan agar membuat pelaburan menerusi platform yang sah dan berdaftar dengan Bank Negara Malaysia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.