
Brian Bouffard, peguam mewakili seorang daripada mereka, Nazir Lep, berkata kedua-duanya akan kekal di pusat penahanan Guantanamo Bay yang dikendalikan AS.
Pusat penahanan berprofil tinggi itu diwujudkan pada 2002 untuk menahan suspek keganasan susulan serangan terhadap Twin Towers di New York setahun sebelumnya.
Nazir, 47, dan Farik Amin, 48, ditahan dalam kurungan sendirian sejak penangkapan mereka di Thailand oleh pihak berkuasa AS pada 2003, berkait kejadian bom di Bali pada tahun sebelumnya.
Bulan lalu, mereka dihukum penjara 23 tahun oleh juri selepas mengaku salah atas peranan dimainkan dalam pengeboman itu, mengikut perjanjian praperbicaraan.
Sepertimana perjanjian itu, mereka boleh dibebaskan selepas lima tahun dan mungkin dihantar ke negara ketiga. Bagaimanapun, Bouffard berkata tiada bayangan bahawa ini akan berlaku, kerana keputusan itu akan dibuat oleh kerajaan AS.
“Mereka perlu kekal di Guantanamo Bay untuk menghabiskan tempoh hukuman, atau sehingga dihantar ke negara ketiga. Nazir dan Farik boleh ditempatkan bersama, tetapi mereka akan diasingkan daripada tahanan yang belum dibicarakan atau didakwa, mengikut peruntukan undang-undang AS.
“Umumnya keputusan tidak memindahkan mereka ke penjara biasa adalah untuk keselamatan mereka, melihat kepada sabitan terhadap mereka,” katanya kepada FMT.
Bouffard juga berkata juri tidak mencadangkan belas ihsan kepada kedua-dua mereka walaupun mahkamah membenarkannya ketika menjatuhkan hukuman.
Pada 2002, Setiausaha Pertahanan AS ketika itu, Donald Rumsfeld berkata Guantanamo Bay diwujudkan untuk menahan individu yang “bahaya luar biasa”, menyoal siasat suspek keganasan dan militan di tempat yang paling sesuai, dan mendakwa tahanan jenayah perang.
Setakat Disember 2023, 30 tahanan masih ada di Guantanamo Bay. Selain dua rakyat Malaysia terbabit, tahanan lain adalah dari Afghanistan, Libya, Yaman, Pakistan, Arab Saudi, Indonesia, Palestin, Iraq, Tunisia dan Kenya.
Pada 2007, calon presiden AS Barack Obama berkata akan menutup pusat tahanan berkenaan kerana yakin dengan keupayaan mahkamah AS “untuk berurusan dengan pengganas”.
Beliau berkhidmat dua penggal sebagai presiden AS, tetapi pusat tahanan Guantanamo masih kekal.