Orang Asli Gua Musang terputus hubungan dunia luar

Orang Asli Gua Musang terputus hubungan dunia luar

Ia susulan generator membekalkan tenaga bagi menghidupkan pencawang telekomunikasi terbakar 19 Jan lalu.

Orang Asli Pos Balar berkata masalah telekomunikasi menyebabkan mereka tidak dapat berhubung dengan masyarakat luar. (Gambar Bernama)
GUA MUSANG:
Lebih 1,000 masyarakat Orang Asli Pos Balar masih tidak dapat berhubung dengan dunia luar berikutan ketiadaan capaian internet dan liputan talian telefon sejak sebulan lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Balar, Hanan Anjang, berkata ia susulan generator yang membekalkan tenaga bagi menghidupkan pencawang telekomunikasi terbakar pada 6.45 pagi, 19 Jan lalu.

“Sudah tiga minggu kami tidak dapat berhubung dengan masyarakat di luar. Pada awalnya kita ingatkan generator kehabisan minyak disebabkan kontraktor tidak dapat masuk ke Pos Balar kerana jalan yang tidak dapat dilalui pada musim hujan.

“Namun apabila pemeriksaan dilakukan mendapati terdapat bahagian yang terbakar pada generator terbabit. Sehingga kini, agak sukar untuk kami berhubung dan melaporkan sekiranya berlaku kes kecemasan,” katanya ketika ditemui pemberita di Pos Balar.

Seorang penduduk Seria Along, 48, berkata masalah telekomunikasi itu menyebabkan dia tidak dapat membuat panggilan video dengan anak yang bekerja di Bandar Gua Musang untuk bertanya khabar.

“Jika berlaku kecemasan di tempat masing-masing, kami juga tidak tahu. Begitu juga penduduk yang lain tidak dapat memaklumkan kepada penghulu untuk semua hal yang penting.

“Saya harap kerosakan ini dapat diperbaiki segera untuk kemudahan kami masyarakat Orang Asli di sini,” katanya.

Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Kelantan memaklumkan pihaknya mengambil maklum aduan terbabit dan siasatan lanjut akan dijalankan segera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.